KUALA TERENGGANU – Pengurusan ekonomi kerajaan yang didakwa gagal merancakkan perbelanjaan domestik terus menjadi kebimbangan rakyat apabila golongan bawahan dan peniaga kecil dikatakan semakin terkesan dengan tekanan kos sara hidup semasa.
Aktivis Masyarakat Badrul Hisham Shaharina menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada langkah merangsang ekonomi melalui pembukaan lebih banyak projek serta suntikan ekonomi bagi memastikan aliran wang dalam pasaran terus bergerak.
Menurut beliau yang juga dikenali CheguBard pendekatan menyeru rakyat berjimat cermat ketika ekonomi perlahan disifatkan tidak membantu pemulihan pasaran, malah memberi kesan langsung kepada aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) di beberapa sektor turut menjejaskan pendapatan peniaga kecil termasuk penjaja makanan dan usahawan sekitar kawasan pejabat kerajaan yang bergantung kepada kehadiran pekerja harian.
“Apabila pergerakan ekonomi menjadi perlahan, golongan paling awal menerima kesan ialah rakyat bawahan dan peniaga kecil yang bergantung kepada pendapatan harian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perdana Rakyat Bangkit di Waterfront Pulau Kambing, pada jumaat.
Dalam masa sama, Cikgu Bad turut membangkitkan isu peningkatan hutang negara yang didakwa mencecah RM1.315 trilion setakat September 2025, selain mempersoalkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung rakyat.
Beliau menegaskan kerajaan perlu lebih serius dalam merangka dasar yang benar-benar membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, agar ekonomi negara dapat dipulihkan secara menyeluruh dan lebih stabil.





























