Menteri Pengangkutan, Dato’Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataannya minggu lalu mengesahkan, cadangan penguatkuasaan semula Automated Enforcement System (AES) akan dibawa kepada Kabinet dan akan dilaksanakan jika dipersetujui.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan 1.9 juta saman yang dikeluarkan menerusi sistem ini mesti dibayar oleh pemandu terbabit.
Berhubung isu ini, PAS menegaskan bahawa pelaksanaan semula sistem ini adalah sangat tidak wajar setelah Jabatan Peguam Negara menghentikan semua prosiding mahkamah berkaitan dengan saman yang dikeluarkan di bawah AES ini.
“Peguam Negara menghentikan semua proses mahkamah kerana untuk mengkaji isu-isu undang-undang yang dibangkitkan berikutan bantahan awam pada Disember 2012.


Beliau berkata, sekalipun sehingga kini masih terdapat 14 kamera AES yang beroperasi, dilaporkan sebanyak 489,606 kes kemalangan pada 2015 berbanding 476,196 pada 2014.
Menurutnya, jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 13,410 kes dan data itu sekaligus menafikan kenyataan bahawa AES berjaya mengurangkan kes kemalangan.
Oleh itu, beliau merasa amat curiga apabila sistem ini mahu dilaksanakan semula selepas ia ditangguhkan lebih tiga tahun lalu.
“Dalam keadaan hasil pendapatan negara merosot dan ketidaktentuan ekonomi sekarang ini, pelaksanaan sistem ini dan pungutan 1.9 juta saman dilihat bertujuan sebagai laluan alternatif kepada Kerajaan untuk menambah hasil pendapatan negara secara segera,”dakwa beliau dalam satu kenyataan.
Justeru beliau menggesa pihak Kementerian agar membatalkan cadangan ini serta melakukan kajian mendalam dan membuat semakan dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum apa-apa cadangan mengenai pelaksanaan semula sistem ini dibuat.
“Kami mendesak Kerajaan agar membatalkan kesemua 1.9 juta saman yang telah dikeluarkan sebelum ini,”tambah beliau.




























