KUALA TERENGGANU – Isu integriti serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara perlu dipulihkan melalui pentadbiran yang telus, amanah dan benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat.
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, rakyat kini semakin menilai keupayaan sesebuah kerajaan berdasarkan tahap integriti, kestabilan dan keikhlasan dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Menurut beliau, negara ketika ini memerlukan kepimpinan yang mampu memulihkan keyakinan masyarakat terhadap dan sistem pentadbiran negara.
“Rakyat mahu melihat pentadbiran yang benar-benar mendengar denyut nadi rakyat dan berusaha memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ceramah Perdana Rakyat Bangkit di Waterfront Pulau Kambing, pada jumaat.
Katanya, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, negara memerlukan dasar ekonomi yang jelas bagi menarik pelaburan tanpa mengorbankan nilai, budaya dan identiti negara.
Menurut beliau, pembangunan ekonomi dan sektor pelancongan boleh terus diperkasakan tanpa perlu menggadaikan moral dan budaya masyarakat.
Tambahnya, Malaysia mempunyai kekuatan besar melalui warisan budaya, alam semula jadi dan keharmonian masyarakat majmuk yang mampu menjadi aset penting dalam pembangunan negara.
“Rakyat mahukan kepimpinan yang mampu membawa kestabilan, keyakinan dan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang,” tambah Dr Bala.




























