Ini Pembersihan Parti

1102

Oleh KAM

KUALA TERENGGANU: Tindakan segelintir di kalangan ahli-ahli PAS yang bertindak keluar parti mutakhir ini merupakan suatu proses ‘pembersihan’ dalaman parti itu dengan sendirinya.

DSCN0224Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata tindakan ahli yang keluar meninggalkan PAS itu merupakan suatu proses pembersihan parti dengan sendirinya.

Malah, katanya tindakan segelintir ahli parti itu tidak merisaukan kerana dalam masa sama ribuan ahli baharu menyertai PAS.

“Itu (keluar PAS) pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri. Bila berlaku banjir… ‘bah’ pasir berubah. (ketawa) tak-risau-tak risau…gembira-gembira.

“Keahlian (PAS) meningkat dalam masa sebulan yang lalu kita ada menerima 4,000 ahli baharu yang didaftarkan dan masih (ada) 3,000 yang belum diproses (borang) dan diluluskan lagi,” ujarnya dengan penuh ceria.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, di sini pada 13 Ogos lalu.

DSCN0213Ketika ditanya pihak media mengenai status Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah yang diumumkan sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Terengganu, Ustaz Abdul Hadi menjelaskan belum ada ahli yang dipecat kerana menyertai GHB tersebut.

Katanya, PAS Pusat masih menunggu laporan dari negeri-begeri tentang penglibatan ahli dan pimpinan parti dengan GHB.

“Belum ada (ahli) yang dipecat, kita (PAS Pusat) akan melihat laporan dari negeri-negeri,” tegasnya.
Selain itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, PAS hanya menghantar wakilnya dua orang bagi menyertai Himpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan pada 29 Ogos ini.

Ini kerana, katanya yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan bahawa PAS akan mengadakan majlis sendiri yang akan dibuat selepas itu.

“PAS hantar wakil sahaja…wakil dua orang. Kita akan ada majlis sendiri yang akan kita buat kemudian,” jelasnya kepada pihak media.

DSCN0242Sebelum ini, PAS Pusat telah melantik Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Kamaruzaman Mohamad bagi mewakili parti dalam Jawatankuasa Bertindak Bersih.

Hadir sama pada majlis rumah terbuka itu Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri, dewan-dewan, kawasan serta wakil-wakil rakyat PAS.

Ribuan rakyat dari semua peringkat umur, bangsa dan agama termasuk kaum Tionghua (Cina) dan India hadir bagi meraikan majlis Aidilfitri tersebut.