Kompleks PAS DUN Ladang Hasil Sumbangan Orang Ramai

9

KUALA TERENGGANU – Kompleks PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang dibina hasil sumbangan pelbagai pihak diharap menjadi pusat gerakan dan khidmat kepada rakyat sepanjang masa, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Ladang, YB Zuraida Md Noor berkata, pembinaan kompleks berkenaan mencerminkan pengorbanan dan keikhlasan ramai penyumbang yang bersama-sama merealisasikan impian untuk menyediakan pusat gerakan PAS di kawasan itu.

Menurutnya, sumbangan yang diterima bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, malah turut melibatkan barang kemas, simen, batu bata, kerusi, meja dan pelbagai keperluan lain.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Da berkata, pelbagai usaha dan program turut dilaksanakan bagi mengumpulkan dana untuk menjayakan pembinaan kompleks berkenaan.

“Sungguh, Kak Da amat terharu dengan keikhlasan dan pengorbanan semua.

“Terima kasih atas setiap sumbangan dan pengorbanan yang diberikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pembinaan Kompleks PAS DUN Ladang yang dirasmikan Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam laman sosial rasminya.

Zuraida berkata, sepanjang lebih tiga tahun diberi amanah memimpin DUN Ladang, beliau bersyukur kerana dikelilingi para amilin yang komited menggerakkan perjuangan dan menjaga amanah kepada parti serta kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap kompleks berkenaan dapat dimanfaatkan sebagai pusat kegiatan dan khidmat masyarakat, sekali gus memperkukuh usaha menyantuni rakyat secara berterusan.

“Semoga kompleks ini menjadi pusat gerakan dan khidmat untuk rakyat, bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi setiap hari selagi kita mampu berbakti kepada agama dan masyarakat.

“Terima kasih atas setiap sumbangan dan pengorbanan. Semoga semuanya menjadi amal jariah yang berpanjangan dan diberkati Allah SWT,” tambah beliau.