Taufan Al-Aqsa: Solidariti Palestin Jangan Bermusim

2

KUALA TERENGGANU – Solidariti terhadap rakyat Palestin tidak seharusnya bermusim atau terhenti selepas program memperingati Taufan Al-Aqsa, sebaliknya perlu diteruskan melalui doa, bantuan dan sokongan berterusan sehingga mereka memperoleh kebebasan.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, umat Islam khususnya di Malaysia perlu terus menyokong perjuangan rakyat Palestin mempertahankan hak mereka serta membebaskan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada pencerobohan rejim Zionis.

Menurutnya, sokongan tersebut perlu diterjemahkan melalui tindakan berterusan, termasuk memohon pertolongan Allah SWT dan menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Peristiwa Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 merupakan antara episod penting dalam perjuangan rakyat Palestin menentang pencerobohan dan keganasan Israel,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, serangan yang dilancarkan Hamas bersama kumpulan pejuang lain mencetuskan tindak balas ketenteraan Israel terhadap Semenanjung Gaza, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan dalam kalangan penduduk Palestin.

Katanya, peristiwa itu turut memperlihatkan kewujudan kelompok yang terus mempertahankan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa meskipun berdepan konflik serta pengorbanan besar.

“Taufan Al-Aqsa hanyalah satu episod perjuangan rakyat Palestin mempertahankan hak untuk hidup aman, bebas dan bermaruah di tanah air sendiri daripada pencerobohan rejim Zionis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam terus memperkukuh solidariti dan tidak membiarkan perjuangan membela Palestin terhenti selepas sesuatu perhimpunan atau program peringatan diadakan.

Menurutnya, perhimpunan solidariti di bandar-bandar utama dunia sempena memperingati Taufan Al-Aqsa mencerminkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin menuntut kebebasan dan menghentikan pencerobohan Israel.

Justeru itu, beliau turut menyeru umat Islam agar terus berdiri teguh menyokong rakyat Palestin melalui doa dan bantuan berterusan sehingga mereka mencapai kebebasan.