Tidak Berguna Hari Raya Sekiranya Tidak Menyampaikan Mesej Islam

1450

Bagi pihak PAS dan bagi pihak Kesatuan Ulamak Sedunia, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Idul Fitri, kullu ‘am wa antum bi khair, minal a’idin wal faizin.

Hari (yang) mulia dan berkat yang diberi oleh Allah bersempena dengan kita menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan dan bermulanya masuk bulan haji.

Kedua-duanya adalah rukun Islam, (yang) menunjukkan betapa pentingnya Hari Raya ini, ( iaitu) hari yang berkat yang bersempena dengannya, kita telah ditarbiah dididik oleh Allah.

Secara amali atau praktikal menunaikan ibadat puasa Ramadhan di waktu siang hari dan menghidupkan malamnya dengan ibadat-ibadat yang disunatkan, disamping ibadat wajib yang telah sedia ada.

(Ia adalah) bagi melatih diri kita melawan hawa nafsu serta meninggalkan keinginan yang dilarang oleh Allah kerana (ia) merosakkan diri manusia, (dan) untuk mengambil keinginan yang baik yang ditunjukkan oleh Allah Ta’ala, (bagi) menyelamatkan diri kita di dunia dan akhirat,

(Hari Raya hendaklah disambut) dengan menanam sifat taqwa di dalam diri kita, sebagaimana tujuan puasa yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran (2:183).

IMG_20150713_214130Mereka yang berhak menyambut hari raya adalah mereka yang menang melawan hawa nafsunya dengan menunaikan ibadat puasa (dan) kepada mereka yang tidak berpuasa, (adalah mereka) yang kalah melawan hawa nafsunya, (maka) tidak ada gunanya (mereka)  berhari raya dan tidak ada faedah hari rayanya itu.

Perlu difahami hari raya itu bukan sekadar memakai pakaian baru, memakan makanan yang lazat, pelbagai jenis kuih muih, tanpa semangat yang baru. Tanpa roh yang baru kepada iman dan Islam.

Dalam masa yang sama, dengan Islam ini kita menjalin hubungan yang baik dengan saudara mara kita, di atas semangat persaudaraan Islam yang menggalakkan silaturrahim, hubungan antara ahli keluarga dan menggalakkan hubungan antara sesama Islam serta hubungan sesama manusia, yang wajib kita selamatkan mereka dengan Islam.

Sama ada mereka menerima Islam atau tidak, perlu diketahui bahawa Islam adalah penyelamat dalam keadaan seluruh dunia kini menghadapi masalah (kerana) kegagalan agama-agama lain selain daripada Islam, ideologi-ideologi ciptaan manusia (telah) menimbulkan masalah politik, ekonomi dan sosial yang sangat gawat.

(Dan hanya) Islam adalah penyelamat, maka tanggungjawab kita adalah menjalinkan hubungan yang baik dengan semuanya (agar) bersama dengan Islam. Maka tidak ada makna (nya) hari raya (bagi) mereka yang tidak boleh menyampaikan mesej ini.

(Rugilah) mereka yang berkelahi dengan keluarga mereka, mereka yang tidak boleh mengajak orang Islam berbaik (sesama) dengan Islam, mereka yang tidak boleh berdakwah kepada manusia (yang) dengan ajaran Islam yang, tidak ada makna kepada mereka untuk menyambut Hari Raya.

Maka marilah kita sambut Hari Raya dengan kita menerima hari pemberian Allah (ini dan) kita berpegang dengan petunjuk Allah yang diberi nama (sebagai) Islam.

Berhati-hatilah memandu di jalan raya, kepada anak-anak di perantauan yang akan pulang berhari raya.

Mudah-mudahan Allah memberkati kita semua, memberi petunjuk kepada kita, meneguhkan iman dan kepercayaan kita kepada Allah dan (percaya) janji Allah di dunia dan akhirat.

***Perutusan Hari Raya, 1 Syawal 1436H oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang juga Naib Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia