Banjir Serentak Uji Keupayaan Operasi Dan Logistik Khidmat Malaysia

6
Dato’ Hanafiah Mat melawat projek hakisanpantai di Batu Rakit baru-baru ini

KUALA TERENGGANU – Kemungkinan banjir besar melanda beberapa kawasan secara serentak menjadi antara cabaran utama kesiapsiagaan Khidmat Malaysia Terengganu (KMT) dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Pengerusinya, Dato’ Hanafiah Mat berkata, situasi sedemikian boleh meningkatkan keperluan terhadap anggota, aset dan bekalan bantuan, sekali gus memerlukan penyelarasan operasi yang cekap bagi memastikan kawasan terjejas mendapat sokongan segera.

Menurutnya, sebanyak 460 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di Terengganu, justeru perancangan awal dan keupayaan menggerakkan sumber mengikut keperluan amat penting bagi menghadapi kemungkinan bencana tersebut.

“Kita tidak melihat jumlah pusat operasi semata-mata sebagai ukuran kesiapsiagaan. Yang lebih penting ialah keupayaan untuk mengaktifkan pusat-pusat tersebut dengan pantas dan memindahkan tenaga serta aset ke kawasan yang memerlukan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, KMT mempunyai lapan bilik operasi di peringkat Parlimen dan 32 pusat operasi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh digerakkan mengikut keadaan dan keperluan di lapangan.

Katanya, kawasan DUN yang tidak terjejas juga boleh berfungsi sebagai kawasan sokongan dengan menggerakkan anggota dan bantuan logistik ke lokasi yang memerlukan, termasuk membantu kerja-kerja pembersihan serta pemulihan selepas banjir.

Menurutnya, antara aset yang disediakan termasuk bot, jaket keselamatan, peralatan kecemasan, peralatan pembersihan dan kenderaan pacuan empat roda bagi membantu pergerakan anggota serta penghantaran bantuan, khususnya ke kawasan yang sukar dilalui.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, KMT turut menyelaras gerak kerja dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengikuti perkembangan cuaca, kawasan berisiko serta keperluan pemindahan mangsa.

Beliau menjelaskan bahawa KMT bukan pasukan penyelamat barisan hadapan, sebaliknya bertindak sebagai pasukan sokongan yang membantu dari segi mobilisasi sukarelawan, logistik dan penyaluran bantuan kepada mangsa.

“Kerja-kerja menyelamat secara teknikal dan operasi air biasanya dikendalikan oleh Bomba dan APM yang mempunyai kepakaran serta aset khusus.

“Khidmat Malaysia bertindak sebagai pasukan sokongan, termasuk membantu dalam keadaan kecemasan dan keperluan mendesak,” ujarnya.

Tambahnya, bantuan makanan dan barangan keperluan akan disesuaikan dengan keadaan sebenar di lapangan, termasuk membantu menangani kekurangan bekalan atau keperluan kecemasan melalui kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.

Beliau berkata, kesiapsiagaan menghadapi MTL memerlukan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, NGO dan sukarelawan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera, terutama sekiranya beberapa kawasan terjejas pada masa yang sama.

“Kita sudah bersedia dari sekarang dan akan terus menyesuaikan kekuatan operasi berdasarkan keadaan cuaca serta situasi sebenar di lapangan,” tambah beliau.