Islam Ada Batas Dan Sempadan

1040

Oleh : KAM

MARANG – Umat Islam secara khususnya diingatkan agar tidak melampaui batas dan sempadan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sejarah Islam pernah memerintah dunia selama lebih 1,300 tahun serta menunjukkan cara yang adil kepada seluruh manusia.

Namun sebaliknya, kata beliau, hari ini Islam telah dilabelkan sebagai agama yang ganas dan membunuh orang.

kam3152(c)-bot3“Islam adalah Rahmat dari Allah SWT, walau pun dunia dalam keadaan kacau-bilau. Islam dituding jari sebagai agama yang ganas, agama yang bunuh orang. Pada halnya, pihak lain yang bunuh orang berjuta-juta dengan menggunakan alat-alat senjata beracun tanpa batas dan sempadan.

“Islam adalah agama yang ada batas, ada sempadannya yang mengajar kita (Islam) bagaimana berdamai, bagaimana berperang, bagaimana menghukum penjenayah, bagaimana untuk menyelesaikan hukum hidup manusia dengan Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kenderaan Pacuan Empat Roda dan Bot Jabatan Amal Marang di perkarangan Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, Marang, Jumaat 27 Februari.

Justeru ,katanya Islam adalah agama yang membawa Rahmat kepada seluruh manusia di dunia ini.

Sementara itu, Ustaz Abdul Hadi yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia baru sahaja pulang ke tanahair setelah mengadakan lawatan kerja ke Tunisia dan Algeria.

Ketika di Tunisia, beliau turut dibawa melawat bandar Qairawan iaitu pusat Islam yang dibuka pada tahun 50 Hijrah oleh Panglima Uqbah Nafe’ yang pernah diamanahkan mengepalai pendakwah dan tentera Islam hingga ke utara Afrika dan barat Afrika.
“Saya baru balik dari lawatan ke negara Islam yang paling barat iaitu Algeria setelah melawat Tunisia. Pemimpin-pemimpin dari gerakan Islam di sana menyampaikan salam kepada kita semua.

IMG-20150227-WA0073“Saya dibawa melawat ke bandar Qairawan iaitu pusat Islam yang dibuka pada tahun 50 Hijrah lagi oleh Panglima Uqbah Nafe’. Seorang sahabat yang sempat di masa kanak-kanak di zaman Rasulullah SAW dan dia diamanahkan untuk mengepalai pendakwah dan tentera Islam untuk sampai ke utara Afrika dan barat Afrika.

“Di mana, bandar Qairawan adalah markaz kepada gerakan Islam, gerakan dakwah, gerakan ilmu dan ketenteraan sehingga sampai ke Morocco dan mengikut sejarahnya, Uqbah Nafe’ yang telah berjaya menakluk utara Afrika sehingga sampai ke Morocco.

“Beliau (Uqbah) menunggang kuda, berdiri di atas tanah tinggi yang menghala ke Lautan Atlantik. Dalam ucapannya yang sangat mashyur dia mengatakan, Ya Allah Ya Tuhanku, kalau aku tahu di belakang lautan ini ada bumi dan ada manusia. Nescaya aku akan harungi lautan ini dan aku sampaikan Islam,” jelasnya.

Ini katanya, menunjukkan bahawa dalam usaha menyampaikan mesej dakwah dan Islam kepada manusia mesti mengharungi lautan, daratan, bukit-bukau dan gunung-ganang.

Menurutnya, manusia hari ini hidup dalam keadaan huru-hara serta sedang mencari ajaran yang boleh menyelamatkan mereka.

“Semua ajaran-ajaran yang direka oleh manusia gagal untuk menyelamatkan manusia. Termasuklah di negeri-negeri yang paling kaya Amerika tetapi rakyat dalam keadaan yang susah.

“Tenggelam dalam maksiat, dalam arak, dalam dadah, dalam mabuk dengan kekayaan. Walau pun perutnya kenyang tetapi akal dan roh lapar. Begitu juga dengan negara Komunis, hidup dalam keadaan yang menderita,” ujarnya.