Saya melihat keputusan kerajaan BN Terengganu baru-baru ini yang telah meneruskan perlaksanaan dan penguatkuasaan beberapa bahagian daripada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang diluluskan oleh Kerajaan PAS dibawah pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Terengganu pada penggal 1999-2004 yang lalu, sebagai satu pengiktirafan kerajaan sekarang terhadap kesungguhan perlaksanaan syariat Islam dizaman pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dahulu.
Alhamdulillah PAS yang telah berusaha sekian lama bagi memartabatkan undang-undang al-Quran ini yang gagal dilaksanakan oleh BN yang setelah 58 tahun memerintah negara ini, telah berjaya meletakkan asas undang-undang ini kembali ke dalam tampuk pentadbiran kerajaan Terengganu ketika zaman pemerintahannya setelah ianya dibuang selepas tahun 1940-an oleh British. Sebelum itu undang-undang Islam telahpun dilaksanakan oleh Sultan Zainal Abidin III bersama penasihatnya yang juga seorang ulamak tersohor, Tok Ku Paloh, dengan undang-undang yang diberi nama Itqan al-Muluk bi Ta’Dil as-Suluk kira-kira 100 tahun yang lalu. Nyata di sini, peranan dan kesungguhan ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, membantu sultan dalam pentadbiran mendekati kepada keredhaan Allah.


Bagi memperkukuhkan lagi cadangan perlaksanaan hudud ini, saya juga mendesak agar kerajaan sedia ada memperkuatkan lagi fungsi mahkamah syariah, hakim-hakimnya, pendakwaraya-pendakwaraya syarienya serta penguatkuasaannya, supaya kekuatan enakmen ini dapat dilihat dengan jelas kewujudan ruh Islam didalamnya. Perlu diingat, hukuman Allah adalah untuk mendidik bukan menghukum, maka tindakan memperkasakan fungsi mahkamah syariah ini adalah bayangan kepada mendidik masyarakat tentang betapa seriusnya kerajaan dalam melaksanakan enakmen ini. Dengan dilaksanakan segala ini, maka jelaslah kepada kita bahawa undang-undang ini bukanlah hanya wayang untuk diperlakonkan kepada masyarakat, tetapi ianya adalah hukum tetap yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah kepada manusia untuk dilaksanakan tidak kira siapapun kita.
Akhirnya saya menyeru kepada rakyat Terengganu agar melihat ini adalah satu pengiktirafan oleh kerajaan BN kepada usaha serta pengorbanan kerajaan PAS dahulu dan saya juga menyeru agar rakyat kembali meletakkan kerajaan PAS mentadbir semula negeri Terengganu ini setelah terbukti undang-undang Islam yang telahpun tertegak di negeri Terengganu sejak lama dahulu, mendahului kerajaan Islam Melaka. Jelas, undang-undang Islam yang berjaya diwujudkan dalam sistem pemerintahan kerajaan Islam Terengganu pada awal dan akhir abad lalu, adalah kerana kesungguhan tokoh-tokoh ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
9 Jamadil Awwal 1436 bersamaan 28 Februari 2015



























