Kebajikan Rakyat, PAS Laksanakan Tuntutan Islam.

857

Sebaliknya kebajikan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional adalah bertujuan meraih sokongan politik semata-mata.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam soal kebajikan terhadap rakyat tidak dapat dipisahkan.

“Sebab itu, dalam ajaran Islam diwajibkan zakat bertujuan membantu golongan fakir miskin yang kurang bernasib baik.

“Kita (PAS) sebuah parti politik berteraskan Islam dan kebajikan itu sebahagian dari tuntutan dalam Islam,” ujarnya ketika ditemui melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Kelab Aya, Pulau Duyong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada 16 November 2009 lalu, sebuah rumah penduduk berkenaan hangus terbakar kira-kira jam 11.50 pagi.

Mangsa merupakan Naib Ketua Cawangan PAS Kelab Aya yang kehilangan harta benda termasuk dokumen penting dalam kejadian kebakaran tersebut.

Encik Mamat Omar, 57, merakamkan ucapan terima kasih kepada PAS serta Lajnah Kebajikan yang disifatkan prihatin.

Beliau terharu dengan sumbangan yang dihulurkan meski pun mengetahui parti bukan sebuah kerajaan yang mempunyai segala kemudahan.

“Saya ucap terima kasih kepada PAS dan Lajnah Kebajikan sudi menghulurkan bantuan dan sumbangan kebajikan.

“Saya tahu PAS bukan sebuah parti yang kaya-raya tetapi keprihatinan dan kebajikan kepada rakyat menyentuh perasaan,” ujarnya.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku kebanyakkan ahli keluarganya keluar bekerja kecuali seorang warga emas yang keuzuran.

Kata beliau, warga emas tersebut merupakan ayahnya iaitu Encik Omar Jusoh, 86, yang mengidap sakit ‘gout’ serta lemah anggota badan.

Menurutnya, kerugian dianggarkan berjumlah RM150,000.00 termasuk empat buah motosikal, peralatan elektrik, komputer riba, pakaian serta semua dokumen penting.

“Kami tidak dapat selamat apa satu pun dan semua harta benda hangus terbakar termasuk motosikal, perkakas elektrik, kain-baju, komputer, peralatan dapur dan dokumen penting.

“Kami sekeluarga tinggal sehelai-sepinggang dan bernasib baik tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa,” ujarnya.

Katanya, ayah (Omar) yang keuzuran akibat penyakit ‘gout’ terpaksa diusung dan dipapah oleh ahli keluarga dari menjadi mangsa kebakaran itu.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Ketua, Dr Alias Razak dan Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang.