Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia Ustaz Riduan Mohd Nor, ia bererti sudah genap lima tahun kerajaan BN memerintah dan kini kerajaan BN memerintah tanpa mandat dari rakyat selepas dari tarikh 8 Mac 2013.
Katanya, PM perlu mandat baru selepas mangambil tampuk pemerintahan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009. Mandat baru penting supaya beliau dapat membuktikan kepemimpinan beliau benar-benar direstui rakyat atau sebaliknya.
Namun demikian tarikh PRU ke 13 terus menjadi teka-teki di kalangan rakyat, berlalu dari satu tarikh ke satu tarikh yang diramalkan ramai.
“PM pula seperti biasa mengambil sikap membisu apabila ditanyakan mengenai tarikh pilihanraya umum dijalankan. Baginya ia seperti tiada apa-apa kesan kepada rakyat. Namun bagi rakyat, sikap berdolak-dalik PM ini adalah suatu deraan yang berpanjangan.
“Mungkin PM mendapat petunjuk bahawa keadaan sekarang tidak memihak kepada dirinya dan BN lagi. Sudah banyak kajian dan hampir kesemua kajian tersebut menunjukkan beliau berkemungkinan besar akan tumbang.
“Nampaknya segala macam insentif dan imbuhan yang dilemparkan kepada rakyat tidak cukup untuk meyakinkan Najib untuk membubarkan parlimen. Apakah perlu PM umumkan beberapa projek mega atau hadiah lumayan yang lebih menyeronokkan untuk rakyat supaya beliau berpuashati dan memenangi PRU ke 13?,”soalnya
Beliauberkata demikian dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media pada Selasa 12 Mac.
Oleh itu, dalam kegelisahan Najib mencari tarikh PRU ke 13, beliau perlu bersikap realisitik dan menyedari nilai dirinya pada perspektif rakyat. Beliau tidak boleh melarikan diri dari kenyataan dengan mengelakkan diri dari berhadapan dengan suasana dan mood semasa rakyat. Menangguhkan PRU ke 13 bukan suatu jawapan kepada masalah yang dihadapinya.
Justeru PN harus sedar, Fenomena penolakan rakyat terhadap BN adalah suatu lumrah kepada mana-mana kerajaan yang sudah sampai tarikh luput mereka. Hakikat pemerintahan ada pasang surutnya, dan takdir tersurat beliau memimpin sebuah kerajaan dalam keadaan rakyat menolak beliau.
Apa yang penting, kata beliau, PM perlu menerima keputusan dan kehendak rakyat dengan redha, kerana sindrom penafian yang selama ini beliau cuba elakkan akan memakan dirinya dan BN kembali.
Ustaz Riduan menambah, Beliau perlu mempositifkan dirinya, penolakan rakyat pada dirinya bererti rakyat mahukan yang lebih baik untuk negara. Beliau telah berusaha sedaya mungkin, namun rakyat mahu pemimpin yang jauh lebih cemerlang memimpin negara.
“Ini juga adalah aspek positif supaya negara kekal kompetitif, cemerlang serta dipimpin oleh pemimpin yang bersih, berintegriti dan amanah yang tidak ada pada dirinya,”ujarnya.




























