Kerusi PRN Melaka Bukan Milik Mana-Mana Parti – Ahmad Samsuri

3

KUALA TERENGGANU – Pembahagian kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dibuat berdasarkan formula yang dipersetujui bersama dan bukan atas anggapan bahawa sesuatu kerusi merupakan hak mana-mana parti.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua parti yang terlibat perlu berbincang secara terbuka bagi menentukan pembahagian kerusi yang terbaik untuk gabungan.

“Sebenarnya saya nak betulkan istilah, bukan beri kerusi kerana kerusi itu bukan milik sesiapa, tetapi kerusi yang dipertandingkan.

“Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa kerusi itu milik mereka semata-mata. Jadi, kena ada formula dan bincang bagaimana,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu Bagi Tahun 2026 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, sekiranya formula status quo digunakan dalam pembahagian kerusi, kedudukan kerusi di peringkat negeri dan Parlimen perlu turut diambil kira dalam rundingan antara parti yang terlibat.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, gabungan itu masih belum memutuskan bentuk kerjasama yang akan digunakan bagi menghadapi PRN Melaka.

“Kita tunggu selepas pengumuman daripada SPR dahulu. Selepas itu kita akan tentukan tarikh yang sesuai untuk dibuat pengumuman mengenai bagaimana bentuk kerjasama yang akan dihadapi dalam pilihan raya ini,” ujarnya.