Awas! Manusia Makhluk Perosak

3

Allah SWT mendedahkan dalam al-Quran, terdapat kalangan manusia sendiri menjadi makhluk perosak alam semesta yang diberikan amanah kepada mereka supaya mentadbir semua urusannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi, dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Allah bukan sahaja Pencipta alam, malah termasuk juga Pentadbir dengan peraturan dan undang-undang mengikut fitrah kejadian setiap makhluk yang berbeza peranan dan sifat kejadiannya.

Adapun manusia ditugaskan untuk mentadbir alam dunia di bumi dan ada kaitannya pula dengan makhluk yang lain. Maka, ditetapkan kepada mereka syariat yang sempurna bertonggak rukun dan dasar serta sempadan peranan mereka. Kerosakan berlaku apabila manusia mengubah ketetapan Allah Pencipta alam atau membuat peraturan sendiri yang tidak diizinkan oleh Allah Yang Maha Rahmat, Maha Adil, dan Maha Bijaksana, menyebabkan berlaku kerosakan kepada perjalanan alam yang akhirnya membawa kemusnahan.

Al-Quran mendedahkan manusia jahat yang menjadi makhluk perosak itu terdiri daripada semua peringkat; daripada kalangan pemimpin negara yang paling tinggi, para raja, para pembesarnya, para ulama’ dan cerdik pandai, media, sehinggalah rakyat yang paling bodoh. Perkara itu berlaku apabila meninggalkan petunjuk Allah yang dibawa oleh para anbiya’ yang dilantik oleh Allah yang membawa bersama kitab yang diwahyukan.

Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu menunjuki orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Makhluk manusia pertama yang merosakkan ialah para pemimpin tertinggi, sama ada yang bersifat individu ataupun kumpulan yang menentang para rasul AS yang ditugaskan untuk menasihati mereka. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ٣٦

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), ‘Sembahlah Allah (saja) dan jauhilah taghut (mereka yang paling melampaui sempadan Allah) itu,’ maka antara umat itu ada orang yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula antara mereka orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka, berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” [Surah al-Nahl: 36]

Sifat melampau yang paling sesat dan jahat ialah perbuatan syirik berlagak menjadi tuhan atau melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah dalam urusan ibadat dan cara hidup, yang diikuti dengan kezaliman dan berbagai-bagai kesesatan serta kejahatan yang berikutnya sehingga merosakkan diri manusia dan alam sekitarnya.

Mereka terdiri daripada individu paling berkuasa dalam negara seperti Firaun, Namrud, dan kumpulan yang dinamakan al-mala’, kalangan yang ada pada setiap zaman dan di setiap tempat.

Walaupun para rasul itu berdakwah secara percuma sahaja dengan sifat mulia yang disaksikan oleh kaum mereka dan tidak merampas kedudukan para pemimpin itu, ditambah pula hanya menasihati supaya berlaku adil dalam menunaikan amanah menjadi pemimpin, para rasul itu tetap dimusuhi oleh pemimpin dengan berbuat zalim dan difitnah dengan cara paling jahat. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِي حَآجَّ إِبۡرَٰهِـۧمَ فِي رَبِّهِۦٓ أَنۡ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ إِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِـۧمُ رَبِّيَ ٱلَّذِي يُحۡيِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحۡيِۦ وَأُمِيتُۖ قَالَ إِبۡرَٰهِـۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأۡتِي بِٱلشَّمۡسِ مِنَ ٱلۡمَشۡرِقِ فَأۡتِ بِهَا مِنَ ٱلۡمَغۡرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِي كَفَرَۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٥٨

“Adakah kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberi orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan, ‘Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan,’ orang itu berkata, ‘Aku dapat menghidupkan dan mematikan.’ Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat,’ lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” [Surah al-Baqarah: 258]

Raja Namrud yang berlagak tuhan boleh membunuh dengan nafsunya, kemudian menghukum Nabi Ibrahim AS kerana kalah berhujah dengan Baginda. Lalu Baginda AS dibakar dalam api yang besar dan dihalau dari tanah airnya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ فِرۡعَوۡنَ عَلَا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَجَعَلَ أَهۡلَهَا شِيَعٗا يَسۡتَضۡعِفُ طَآئِفَةٗ مِّنۡهُمۡ يُذَبِّحُ أَبۡنَآءَهُمۡ وَيَسۡتَحۡيِۦ نِسَآءَهُمۡۚ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٤

“Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka, dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.” [Surah al-Qasas: 4]

Firaun yang berkuasa dan kaya hartanya mengaku menjadi tuhan.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوۡمِهِۦ فَقَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥٓۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ ٢٣ فَقَالَ ٱلۡمَلَؤُاْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيۡكُمۡ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةٗ مَّا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِيٓ ءَابَآئِنَا ٱلۡأَوَّلِينَ ٢٤ إِنۡ هُوَ إِلَّا رَجُلُۢ بِهِۦ جِنَّةٞ فَتَرَبَّصُواْ بِهِۦ حَتَّىٰ حِينٖ ٢٥

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, ‘Wahai kaumku, sembahlah oleh kamu Allah, (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia! Maka, mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?’ (23) Maka, pemuka-pemuka orang yang kafir antara kaumnya menjawab, ‘Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu. (24) Dia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang berpenyakit gila, maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu.’ (25)” [Surah al-Mu’minun: 23–25]

Firman Allah SWT:

وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٞ يَسۡعَىٰ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ ٢٠ ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسۡـَٔلُكُمۡ أَجۡرٗا وَهُم مُّهۡتَدُونَ ٢١

“Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas-gegas dia berkata, ‘Wahai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu! (20) Ikutilah orang yang tiada meminta balasan kepadamu; dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk.’ (21)” [Surah Yasin: 20–21]

Pemimpin negara dan masyarakat yang paling tinggi kedudukannya adalah paling ditakuti dan besar pengaruhnya terhadap rakyat seluruh negara, maka mereka menjadi makhluk perosak yang paling membinasakan kehidupan manusia dan alam sekelilingnya.

Seterusnya, kalangan ulama’ yang berilmu ialah pewaris yang menerima pusaka para rasul dan anbiya’ bagi menyampaikan petunjuk Allah kepada manusia dengan benar dan amanah demi menyambung perjuangannya. Mereka ialah orang yang paling diberikan kepercayaan dalam masyarakat.

Apabila ada yang khianat mencari kesenangan hidup dengan menyalahgunakan ilmu agama pusaka para anbiya’ yang diberikan Allah kepada mereka, lalu menyesatkan orang ramai dengan ilmu mereka yang disalahgunakan, Allah SWT meletakkan mereka sebagai golongan yang paling dimurkai Allah sebagaimana firman-Nya:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ١٧٤

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perut mereka melainkan api, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat serta tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka seksa yang amat pedih.” [Surah al-Baqarah: 174]

Firman Allah SWT:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّالِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berinya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikannya (darjatnya) dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing; jika kamu menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, ia menghulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka, ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (176)” [Surah al-A‘raf: 175–176]

Orang berilmu yang mengikut arahan syaitan yang menjadi dalang di belakangnya atau menjadi topeng hidup kerana mencari kesenangan hidup laksana anjing hina yang boleh diarahkan oleh tuannya, syaitan yang memberi makan dalam keadaan sentiasa kelaparan walaupun sudah banyak diberi makan, kerana nafsunya yang sentiasa gelojoh mengatasi akal dan ilmu yang dikurniakan Allah.

Walaupun ayat-ayat tersebut mengenai kalangan Yahudi Ahli Kitab yang mengetahui berkenaan agama dan kitab Allah, termasuk Nabi akhir zaman, ia tetap menjadi iktibar kepada ulama’ yang khianat sepanjang zaman. Betapa bahayanya sehingga mereka disebut dalam Surah al-Fatihah yang dibaca pada setiap rakaat solat.

Kalangan hartawan dan bangsawan juga menjadi makhluk perosak yang membinasakan alam semesta. Pengaruh harta sangat besar dalam masyarakat, termasuk pengaruh bagi merosakkan akhlak dan seluruh kehidupan yang lain. Firman Allah SWT:

وَإِذَآ أَرَدۡنَآ أَن نُّهۡلِكَ قَرۡيَةً أَمَرۡنَا مُتۡرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيۡهَا ٱلۡقَوۡلُ فَدَمَّرۡنَٰهَا تَدۡمِيرٗا ١٦ وَكَمۡ أَهۡلَكۡنَا مِنَ ٱلۡقُرُونِ مِنۢ بَعۡدِ نُوحٖۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا ١٧

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. (16) Dan berapa banyaknya kaum sesudah Nuh telah Kami binasakan. Dan cukuplah Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Melihat dosa hamba-hamba-Nya. (17)” [Surah al-Isra’: 16–17]

Ibn ‘Abbas RA menyatakan bahawa penyelewengan bermula selepas 10 kurun (1,000 tahun) kewafatan Nabi Adam AS, maka Allah menjadikan Nabi Nuh AS sebagai rasul terawal yang berjuang menghadapi manusia perosak aqidah, syariah, dan akhlak yang menjadi punca kemusnahan alam.

Setelah diberikan masa yang panjang kepada Nabi Nuh AS, diikuti rasul-rasul berikutnya yang berakhir dengan nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW yang diutus kepada seluruh manusia.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوۡمِهِۦ فَلَبِثَ فِيهِمۡ أَلۡفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمۡسِينَ عَامٗا فَأَخَذَهُمُ ٱلطُّوفَانُ وَهُمۡ ظَٰلِمُونَ ١٤

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal antara mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Maka, mereka ditimpa banjir besar dan mereka ialah orang-orang yang zalim.” [Surah al-‘Ankabut: 14]

Kalangan media juga menjadi makhluk perosak sebagaimana firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu!” [Surah al-Hujurat: 6]

Kini, teknologi maklumat tanpa sempadan berperanan besar menyebarkan kebatilan, kesesatan, pembohongan, dan penipuan yang merosakkan kefahaman yang betul, bukan sahaja masuk dalam masyarakat, bahkan sehingga ke dalam bilik-bilik rumah dengan mudah.

Media laksana senjata berbahaya yang serba guna, sama ada untuk kebaikan ataupun kejahatan.

Pengikut yang bodoh juga menjadi makhluk perosak yang membantu para pemimpin mereka atau dihanyutkan oleh media yang sesat. Firman Allah SWT:

يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠ ٦٦ وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠ ٦٧ رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا ٦٨

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan di dalam Neraka, mereka berkata, ‘Alangkah baiknya andai kata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’ (66) Dan mereka berkata, ‘Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar)! (67) Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar!’ [68]” [Surah al-Ahzab: 66–68]

Firman Allah SWT:

وَبَرَزُواْ لِلَّهِ جَمِيعٗا فَقَالَ ٱلضُّعَفَـٰٓؤُاْ لِلَّذِينَ ٱسۡتَكۡبَرُوٓاْ إِنَّا كُنَّا لَكُمۡ تَبَعٗا فَهَلۡ أَنتُم مُّغۡنُونَ عَنَّا مِنۡ عَذَابِ ٱللَّهِ مِن شَيۡءٖۚ قَالُواْ لَوۡ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ لَهَدَيۡنَٰكُمۡۖ سَوَآءٌ عَلَيۡنَآ أَجَزِعۡنَآ أَمۡ صَبَرۡنَا مَا لَنَا مِن مَّحِيصٖ ٢١ وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢٢

“Dan mereka semuanya (di Padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong, ‘Sesungguhnya kami dahulu ialah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan daripada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja?’ Mereka menjawab, ‘Seandainya Allah memberikan petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberikan petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita adakah kita mengeluh atau bersabar. Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri.’ (21) Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan, ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar dan aku pun telah menjanjikan kepadamu, tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu, lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh sebab itu, janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.’ Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih. (22)” [Surah Ibrahim: 21–22]

Mereka semua berbalah dan berkelahi di dalam Neraka sambil salah-menyalahkan sesama mereka setelah menerima keputusan di mahkamah Allah pada Hari Kiamat. Firman Allah SWT:

يَوۡمَ نَدۡعُواْ كُلَّ أُنَاسِۢ بِإِمَٰمِهِمۡۖ فَمَنۡ أُوتِيَ كِتَٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ فَأُوْلَـٰٓئِكَ يَقۡرَءُونَ كِتَٰبَهُمۡ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلٗا ٧١ وَمَن كَانَ فِي هَٰذِهِۦٓ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلٗا ٧٢

“(Ingatlah) suatu hari (yang pada hari itu) Kami panggil tiap-tiap umat dengan pemimpin mereka; dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya, maka mereka akan membaca kitab mereka itu dan mereka tidak dianiaya sedikit pun. (71) Dan sesiapa yang buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat (nanti) dia akan lebih buta (pula) dan lebih tersesat dari jalan (yang benar). (72)” [Surah al-Isra’: 71–72]

Ada juga kalangan yang tahu kesalahannya, namun rela dipergunakan dan melakukan perintah serta arahan yang salah. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ فَتُهَاجِرُواْ فِيهَاۚ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا ٩٧

“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya, ‘Dalam keadaan bagaimana kamu ini?’ Mereka menjawab, ‘Kami ialah orang-orang yang tertindas di negeri (Makkah).’ Para malaikat berkata, ‘Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?’ Orang-orang itu tempatnya Neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” [Surah al-Nisa’: 97]

Mereka yang menjadi alat kepada para pemimpin yang salah apabila melakukan arahan yang diketahui salah dan merosakkan, akan menerima balasan Allah apabila ditolak hujahnya mahu melepaskan diri kerana kesalahan tidak menggunakan akal dan ilmu yang diberikan Allah kepadanya, malah sedia menjadi alat kepada para pemimpin yang sesat dan salah.

Akhirnya, manusia makhluk perosak yang paling bahaya ialah kalangan munafiq yang berpura-pura Islam, menjadi ejen musuh, dan laksana gunting dalam lipatan, dinyatakan oleh firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ وَمَا هُم بِمُؤۡمِنِينَ ٨ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَمَا يَخۡدَعُونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ ٩

“Antara manusia ada yang mengatakan, ‘Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian,’ padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. [8] Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri, sedang mereka tidak sedar. (9)” [Surah al-Baqarah: 8–9]

Tanda-tandanya dinyatakan paling banyak dalam al-Quran secara berulang kali, antaranya firman Allah SWT:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. [138] (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah. (139)” [Surah al-Nisa’: 138–139]

Khususnya pada zaman kini bilamana banyaknya kepungan dilakukan terhadap sebarang kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia.

Rasulullah SAW juga menunjukkan tanda-tandanya dengan bersabda:

آيَةُ ‌الْمُنَافِقِ ‌ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ.

“Tanda munafiq itu ada tiga: (1) Apabila bercakap, dia berbohong. (2) Apabila berjanji, dia bermungkir. (3) Apabila diberikan amanah, dia berkhianat.” [Hadis muttafaq ‘alayh riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 33 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 59, daripada Abu Hurairah]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 16 Jumada al-Ula 1448 / 27 Oktober 2026

[Bil: 68 / 2026]