Oleh: Fatimah Din
MARANG – Kebahagiaan rumah tangga menuntut kesabaran, kebijaksanaan mengurus emosi dan pendidikan anak-anak secara berhikmah dalam menghadapi ujian kehidupan bersama.
Ahli Jawatan Kuasa Muslimat PAS Terengganu, Ustazah Noorzila Mohamad berkata, setiap insan mendambakan keluarga yang harmoni, pasangan yang memahami serta zuriat yang menyejukkan mata, namun kebahagiaan itu tidak hadir tanpa usaha dan pengorbanan berterusan daripada setiap ahli keluarga.
“Bukan sekadar bermimpi dan hanya menunggu semuanya menjadi sempurna,” katanya.
Ustazah Norzila berkata demikian menyampaikan perkongsian dalam program Ohana Ameerah Pengkalan Berangan di Pok Yan Cafe, Kampung Tuman, Pengkalan Berangan, pada Sabtu, 24 Oktober.
Menurut beliau, antara cabaran utama dalam rumah tangga ialah mengurus kemarahan dan tekanan, khususnya apabila berhadapan dengan kerenah pasangan serta anak-anak yang memerlukan kesabaran tinggi.
“Pasangan suami isteri perlu belajar mengawal emosi dan tidak terlalu serius dalam menjalani kehidupan sehingga menghilangkan kemesraan, keceriaan serta suasana santai yang menjadi penyeri hubungan kekeluargaan.
“angan sampai kita terlalu serius dalam rumah tangga sehingga hilang senyuman dan gelak tawa, rumah sepatutnya menjadi tempat kita mencari ketenangan, bukannya tempat yang membuatkan ahli keluarga berasa tertekan,” ujarnya.
Dalam aspek pendidikan anak-anak pula, beliau menyeru ibu bapa supaya mengubah pendekatan daripada terlalu banyak memarahi dan membebel kepada kaedah yang lebih berhikmah, termasuk mengajak, membimbing serta menegur dengan penuh kasih sayang.


“Perubahan sikap anak-anak memerlukan masa dan kesabaran, justeru ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan hasil yang segera sehingga terlupa bahawa proses mendidik turut menuntut kebijaksanaan dan ketekunan,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap ujian dan liku kehidupan merupakan proses yang mendewasakan serta mematangkan diri, sekali gus mendidik ahli keluarga agar lebih kuat menghadapi cabaran dengan menjadikan ilmu akidah dan syariat sebagai panduan.
“Keluarga yang bahagia bukanlah keluarga yang tidak pernah berdepan masalah, sebaliknya keluarga yang sentiasa berusaha memperbaiki diri, saling menyokong dan kembali kepada panduan Islam ketika menghadapi kesukaran.
“Matlamat membina rumah tangga tidak seharusnya terbatas kepada mengejar kesenangan dunia, bahkan perlu disertai tekad membentuk keluarga yang diredai Allah SWT,” ujarnya lagi.






























