Oleh: Fatimah Din
MARANG – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menyatukan kekuatan, meninggalkan budaya kerja bersendirian dan memperkukuh kerjasama bagi menangani isu masyarakat secara lebih berkesan
Pengerusi Lajnah NGO PAS Kawasan Marang, Dato’ Haji Yahaya Ali berkata, penyatuan gerak kerja NGO merupakan langkah penting bagi memperkukuh peranan pertubuhan tersebut, khususnya ketika berdepan kekangan kewangan, tenaga kerja dan kebergantungan kepada sumbangan sukarela.
“NGO tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kita perlu menyatukan kekuatan, menyusun perancangan dan saling membantu supaya setiap usaha yang dilakukan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu(BPPNT) itu berkata demikian ketika dihbungi mengulas hasil Retreat NGO PAS Kawasan Marang di Kanza Beach Inn, Marang, pada Sabtu, 23 Oktober
Menurut Dato’ Yahaya, hasil retreat tersebut akan menjadi asas kepada perancangan penganjuran Konvensyen NGO Marang pada masa akan datang sebagai platform memperluas jaringan kerjasama, menyelaraskan tindakan dan merangka hala tuju gerakan yang lebih bersepadu.
“Inisiatif itu diharap dapat melahirkan gerakan NGO Marang yang lebih dinamik, tersusun dan responsif terhadap keperluan masyarakat,


“sekali gus memastikan setiap pertubuhan bukan sekadar aktif menjalankan program, tetapi turut memberikan impak yang nyata kepada kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Katanya, program berkenaan menjadi medan menghimpunkan kepimpinan NGO untuk menilai tahap keaktifan organisasi, keberkesanan pelaksanaan program serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.
“NGO juga berfungsi sebagai mata dan telinga masyarakat dengan menyalurkan maklumat serta isu berbangkit kepada pihak berwajib supaya tindakan bersesuaian dapat diambil,” katanya.





























