DUNGUN: Program Praktikal Kecerdasan Buatan (AI) diharap menjadi pemangkin kepada penguasaan teknologi digital secara lebih bijaksana, beretika dan berkesan dalam memperkukuh gerak kerja media parti.
Pengarah Program, Mohd Asraf Ikhwan Azahar berkata, ilmu dan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan yang diperoleh menerusi program berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.
“Dengan adanya program sebegini menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan untuk meningkatkan penguasaan teknologi digital, memperkasakan gerak kerja penerangan dan media baharu serta melahirkan pasukan yang lebih bersedia menghadapi perkembangan teknologi semasa.,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Media Baru, Lajnah Penerangan dan Media Baru Kawasan Dungun berkata demikian dalam ucapan penutup Program Praktikal AI yang berlangsung di Dewan Wisma Pemuda PAS Kawasan itu di sini hari ini
Menurutnya, penggunaan teknologi AI membuka ruang kepada warga penerangan untuk meneroka kaedah kerja yang lebih mudah, pantas dan sistematik, khususnya dalam penghasilan kandungan serta pengurusan media baharu.


“saya berharap agar ilmu yang kita pelajari pada hari ini tidak terhenti sekadar di dalam kursus ini sahaja.
“Sebaliknya, marilah kita terus meneroka, mendalami dan mengaplikasikan teknologi AI secara bijaksana, beretika dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peserta agar memastikan penggunaan teknologi sentiasa berpandukan nilai-nilai Islam, amanah dan tanggungjawab, khususnya ketika menghasilkan serta menyebarkan maklumat kepada masyarakat.
“Kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan untuk tujuan yang bermanfaat, termasuk memperkukuh penyampaian maklumat, memudahkan urusan masyarakat dan membantu memperkasakan ummah.





























