KUALA TERENGGANU – Pergerakan Zaman Baru atau The New Age Movement (NAM) dikhuatiri menyerap dalam masyarakat Islam di Malaysia menerusi program pembangunan kendiri, seminar ‘healing’ dan latihan minda yang kelihatan bersifat neutral.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, perkembangan gerakan berkenaan perlu diberi perhatian kerana ia membawa pendekatan spiritual moden yang tidak terikat kepada mana-mana agama tertentu, selain menggabungkan pelbagai unsur kepercayaan alternatif.
Menurutnya, antara ciri utama NAM ialah penekanan terhadap pengalaman kerohanian individu tanpa terikat kepada doktrin agama tradisional, selain mencampurkan unsur pelbagai agama, falsafah Timur, astrologi, kosmologi dan perubatan alternatif.
“Ciri utama gerakan ini berfokus kepada tiga prinsip iaitu spiritualiti tanpa agama yang menolak dogma atau doktrin agama tradisional dengan mengutamakan pengalaman kerohanian peribadi.
“Selain itu, ia mengetengahkan pluralisme dan universal yang mencampuradukkan pelbagai unsur agama, falsafah Timur, astrologi, kosmologi dan perubatan alternatif, selain memberi tumpuan kepada tenaga dalaman menerusi kepercayaan terhadap tenaga alam, aura, meditasi, minda bawah sedar dan potensi insan pada tahap tertinggi,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, NAM berkembang di Barat sekitar 1960-an hingga 1980-an sebagai gerakan spiritual moden yang menolak struktur agama tradisional dan menekankan pengalaman spiritual individu secara bebas.
Katanya, pengikut aliran berkenaan boleh membentuk jalan spiritual sendiri atau menggabungkan pelbagai amalan spiritual daripada agama dan budaya berbeza secara sinkretis.
“Menurut perspektif mereka, kebenaran spiritual dianggap universal dan boleh ditemui dalam pelbagai tradisi, sehingga individu bebas membentuk kepercayaan sendiri tanpa terikat kepada kitab suci, institusi agama, nabi atau wahyu tertentu,” ujarnya.
Dr Wan Mat Sulaiman berkata, dari perspektif Islam, pendekatan yang meletakkan spiritualiti di luar kerangka wahyu bercanggah dengan prinsip akidah Islam yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 19 yang bermaksud, “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam.”
“Justeru, umat Islam perlu berhati-hati dengan ajaran seumpama ini dan memastikan setiap amalan berbentuk ibadah, muamalat, zikir serta amalan kebatinan atau spiritual mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad ulama muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berwajib, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan agama negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya memberi perhatian terhadap perkembangan gerakan berkenaan.
“Pihak berkaitan juga perlu menyiasat penganjur aktiviti dan individu yang terlibat bagi mengelakkan masyarakat Islam terlibat secara sedar atau tidak sedar dengan ajaran yang boleh menyelewengkan akidah,” katanya.





























