KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pembatalan pendaftaran gabungan itu menjelang prosiding mahkamah dan pengisytiharan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai satu tindakan luar biasa yang didakwa bermotifkan politik.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah berkenaan mencerminkan ketakutan pihak lawan terhadap pengaruh gabungan itu, khususnya susulan maklum balas penggunaan logo yang baru dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dua hari lalu.
“Apa yang berlaku sehari sebelum kes dibawa ke mahkamah adalah satu tindakan luar biasa.
“Semua tindakan yang selari dengan garis masa sebelum pengisytiharan calon pilihan raya Melaka adalah jelas bermotifkan ketakutan kepada gabungan ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahmad Samsuri menegaskan, sokongan rakyat tidak akan terjejas oleh tindakan pihak yang berselindung di sebalik kuasa demi memenuhi agenda politik peribadi.
Beliau turut menasihati ahli dan penyokong agar kekal tenang serta menegaskan komitmen PN untuk meneruskan hak mereka melalui saluran undang-undang.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan pembatalan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] selepas mendapati penjelasan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan.
Menurut RoS, PN sebelum ini diberikan ruang mengemukakan representasi menerusi notis bertarikh 22 September lalu di bawah subseksyen 13(2) akta sama. Bagaimanapun, semakan terhadap maklum balas bertarikh 12 Oktober memutuskan alasan yang dikemukakan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran tersebut.






























