KUALA TERENGGANU – Kerja-kerja pembersihan longkang, parit dan saliran dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai telah dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh (Monsun Timur Laut – MTL).
Namun begitu menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai, Dato’ Haji Hanafiah Mat, penduduk di empat lokaliti Pengkalan Pandan, Geliga Che Akob, Taman Fikri dan Kampung Paya Berenjut diminta berwaspada kerana persekitaran tersebut seringkali juga dinaiki air banjir.
“Walau bagaimanapun, kerajaan akan laksanakan projek tebatan banjir bagi kampung berkenaan dan sekarang telah diluluskan diperingkat kerajaan negeri,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya bila ditanya, pelan jangka panjang, katanya, pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Kemaman (PLSB) juga dijangka membantu mengurangkan masalah banjir apabila projek berkenaan siap kelak.
“Semua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah bersedia dan mesyuarat jawatankuasa bencana di peringkat daerah, DUN dan Khidmat Malaysia juga telah dibuat.
“Kita berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang musim tengkujuh ini,” ujarnya.





























