KUALA TERENGGANU – Seluruh rakyat Malaysia diseru untuk terus memelihara perpaduan dan mengisi kemerdekaan menerusi pembangunan modal insan berkualiti serta pengurusan perbezaan masyarakat secara matang.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah 69 tahun negara mengecap kemerdekaan, tanggungjawab memelihara kestabilan dan kemakmuran tanah air kini terletak di bahu generasi masa kini.
“Pelaburan paling penting untuk masa depan negara ialah membina insan yang berkualiti.
“Kita mahu anak-anak kita mempunyai ilmu dan kemahiran untuk berjaya, di samping memiliki akhlak yang baik, integriti serta pegangan agama yang kukuh,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkaitan demikian menerusi Perutusan Hari Kebangsaan 2026, hari ini.
Oleh itu katanya, makna kemerdekaan sewajarnya diterjemahkan melalui kesejahteraan hidup rakyat, termasuk akses pendidikan berkualiti, peluang ekonomi yang adil dan persekitaran yang selamat.
“Prinsip ini menjadi teras pentadbiran di Terengganu yang menekankan tadbir urus amanah, telus dan mengutamakan kebajikan masyarakat.” tegas beliau.
Justeru itu, Pengerusi Perikatan Nasional itu menasihati orang ramai agar sentiasa mencari titik persamaan dan saling menghormati kepelbagaian latar belakang kaum serta agama bagi mengelakkan perpecahan.
Beliau menambah, komitmen berterusan daripada semua pihak dalam memperkukuh ekonomi dan membina masyarakat bersatu padu amat penting bagi memastikan legasi kemakmuran negara dapat diwarisi oleh generasi akan datang.





























