KUALA TERENGGANU — Perjuangan politik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kepentingan sesebuah negeri atau kelompok, sebaliknya perlu melihat objektif yang lebih besar demi agama, rakyat dan negara.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS dan Perikatan Nasional (PN) perlu memperkukuhkan perpaduan dan menyusun strategi lebih awal bagi menghadapi pilihan raya akan datang dengan matlamat lebih besar untuk menawan Putrajaya.
Beliau berkata, kekuatan umat bermula dengan kesatuan hati dan tujuan, selain kesediaan meletakkan kepentingan agama, rakyat serta negara mengatasi kepentingan kelompok masing-masing.
“Musuh kepada perpaduan bukanlah perbezaan. Kita boleh berbeza pandangan dan pendapat, tetapi musuh kepada perpaduan ialah apabila perbezaan pandangan itu bertukar menjadi permusuhan.
“Sebab itu saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS dan Perikatan Nasional di negeri Pahang ini supaya merapatkan saf, menguatkan ukhuwah dan jangan biarkan perselisihan kecil melemahkan perjuangan yang lebih besar,” jelasnya dalam ucapan Penyatuan Ummah di Pahang pada Sabtu lalu.


Menurut beliau, pilihan raya di beberapa negeri yang bakal berlangsung menjadi sebahagian daripada perjalanan politik menuju matlamat lebih besar, justeru PAS dan PN tidak mempunyai banyak masa untuk berpecah atau membiarkan perselisihan dalaman mengganggu persiapan.
Katanya, tempoh penggal kerajaan Persekutuan akan berakhir pada akhir tahun depan dan pilihan raya bagi Pahang, Terengganu serta beberapa negeri lain pula dijangka berlangsung kemudian, sekali gus memerlukan persiapan lebih awal.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, bentuk kerjasama politik pada masa akan datang boleh mengambil pelbagai konfigurasi berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.
“Politik baharu ini kita boleh masuk pilihan raya dengan pelbagai cara dan pelbagai model. Free for all pun boleh, berkawan pun boleh, lawan pun boleh. Tetapi dengan pendekatan yang lebih baharu dan lebih segar.


“Matlamat kita jauh lebih besar daripada itu, iaitu untuk menawan Putrajaya,” ujarnya.
Tambahnya, pengalaman PAS melalui pelbagai bentuk kerjasama politik sejak beberapa dekad lalu membolehkan parti itu menilai konfigurasi yang paling sesuai dan stabil untuk jangka panjang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan jentera PAS dan PN supaya tidak hanya aktif ketika pilihan raya, sebaliknya perlu sentiasa mendekati rakyat, mendengar masalah serta berusaha menyelesaikannya.
“Jangan tunggu pilihan raya untuk kita bertemu dengan rakyat. Jangan tunggu ceramah untuk menyampaikan perjuangan. Jangan tunggu rakyat datang mencari kita. Kitalah yang mesti mencari rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan organisasi yang kuat, strategi tepat, disiplin tinggi serta gerak kerja berterusan bagi memastikan jentera benar-benar bersedia menghadapi pilihan raya





























