Bebas Permis Judi Bukti Komitmen Kerajaan PAS Terengganu Banteras Amalan ‘Kotor’

4

Oleh : Hidayah Azlin

TERENGGANU – Pengeluaran lesen premis perjudian di Terengganu kekal dihentikan sejak penggal pentadbiran PAS pada tahun 1999 hingga kini, membuktikan komitmen berterusan kerajaan PAS negeri dalam membanteras amalan ‘kotor’ yang ditegah agama.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan pendirian tersebut selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 90 yang jelas mengkategorikan judi sebagai perbuatan kotor daripada syaitan.

Melihat kepada larangan muktamad tersebut, beliau mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang cuba mempertikaikan atau menggunakan istilah yang lebih lunak berhubung isu perjudian.

Dr. Azman turut membangkitkan persoalan menyeluruh mengenai setiap pihak yang berada dalam rantaian ekosistem berkenaan.

“Soalnya siapa yang kotor dan buat kerja syaitan? Orang yang berkuasa meluluskan lesen judi? Tokey judi? Kaki judi? Atau orang yang fail saman Kerajaan Negeri yang tak keluar lesen premis judi? Atau semua sekali?” tegas beliau.

Mengulas lanjut mengenai rekod di Terengganu, beliau menjelaskan polisi tidak mengeluarkan lesen premis judi yang bermula sejak 1999 terus dikekalkan sehingga kini, termasuk sepanjang tempoh Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri dari tahun 2004 hingga 2018.

Tambah beliau, sekiranya timbul sebarang cabaran undang-undang terhadap pendirian ini pada masa akan datang, kes terdahulu (precedent case) yang melibatkan Kerajaan Negeri Kedah berkemungkinan besar akan menjadi rujukan utama.