60 Hari Sangat Berharga Tentukan Masa Depan Politik Melaka

6

KUALA TERENGGANU – Tempoh sekitar 60 hari yang berbaki perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera PAS dan Perikatan Nasional (PN) bagi mendekati rakyat dan menentukan perubahan landskap politik negeri Melaka.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tempoh berkenaan tidak boleh dianggap panjang kerana setiap hari yang dilalui boleh memberi kesan terhadap keputusan rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, sekiranya setiap petugas berjaya meyakinkan seorang pengundi baharu setiap hari, gerak kerja tersebut mampu menghasilkan jumlah sokongan yang besar apabila digerakkan oleh ribuan anggota jentera.

“Kalau setiap hari kita mampu meyakinkan seorang pengundi baharu, dalam tempoh 60 hari kita ada 60 orang. Kalau 1,000 petugas melakukan perkara yang sama, sudah tentu kita menyentuh puluhan ribu rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PAS Negeri Melaka.

Menurut beliau, jentera PAS dan PN perlu bergerak dengan penuh disiplin, strategi dan kesungguhan kerana keadaan politik di Melaka boleh berubah dengan pantas sekiranya gerak kerja dilakukan secara tersusun.

Katanya, PAS dan PN juga tidak boleh menganggap mana-mana kawasan sebagai terlalu sukar atau mustahil untuk dimenangi.

“Sebaliknya kita tanya kepada diri kita sendiri dan kepimpinan di negeri bersama dengan jentera, apa lagi yang belum kita lakukan untuk membolehkan kita menang di tempat-tempat yang dilihat sebegitu sukar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PAS dan PN perlu dilihat sebagai sebuah pasukan yang benar-benar bersedia untuk mentadbir negeri Melaka, bukannya sekadar membawa retorik politik.

Tambahnya, rakyat akhirnya akan menilai kemampuan sesebuah parti berdasarkan penyelesaian yang mampu dibawa terhadap masalah mereka.

“Rakyat menunggu penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya.

Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa PAS dan PN mahu membawa mesej kepada seluruh rakyat Melaka bahawa perjuangan mereka bukan hanya untuk satu kelompok masyarakat.

Sebaliknya, katanya, semua masyarakat termasuk Melayu, Cina, India, Portugis, Baba Nyonya dan komuniti lain yang membentuk keunikan Melaka perlu diberi perhatian secara adil.

Ujarnya lagi, perbezaan agama dan budaya tidak seharusnya menjadi alasan untuk masyarakat saling mencurigai kerana kepelbagaian merupakan fitrah manusia.

“Walaupun kita berbeza, kita masih lagi berada di sebuah negeri yang sama iaitu negeri Melaka. Tentunya kita mempunyai masa depan yang sama,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa komitmen PAS dan PN adalah untuk memastikan kepentingan semua pihak dinilai dan dijaga dengan penuh keadilan bagi membentuk sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri menghargai sumbangan semua pihak kepada gerak kerja PAS Melaka, sama ada dalam bentuk wang, masa, tenaga mahupun doa.

Beliau berkata, setiap sumbangan mempunyai nilai tersendiri dalam perjuangan dan perlu dimanfaatkan secara berhemah untuk memperkukuhkan organisasi, mendekati rakyat serta menyampaikan dasar dan tawaran kepada masyarakat.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa PAS dan PN tidak meminta rakyat memberikan kepercayaan semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

Sebaliknya, kepercayaan rakyat diperlukan supaya parti itu dapat memikul amanah dan berkhidmat demi kebaikan seluruh rakyat Melaka.

“Kita meminta rakyat memberikan kepercayaan kepada kita supaya kita dapat berkhidmat dan memikul dengan penuh tanggungjawab untuk kebaikan semua yang menjadi rakyat di negeri Melaka ini,” tambah beliau.