Jika PRU16 Tahun Ini, Oktober Paling Munasabah

4

SETIU — Sekirannya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan berlangsung tahun ini, bulan Oktober sebagai bulan paling munasabah dan pilihan raya dijangka diadakan selewat-lewatnya November.

Naib Presiden PAS, YB Dato’ Sri Amar Diraja Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan perkembangan politik dan ekonomi semasa yang disifatkannya memberi tekanan kepada kerajaan Persekutuan.

“Dari segi bacaan politiknya, hamba berani katalah, pilihan raya ni ikut mana pun tahun ni. Paling lewat bulan 11 dan jangkaan kitanya, bulan 10 ni paling munasabah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS kawasan Setiu, di Dewan Sungai Tarom, pada jumaat.

Menurut beliau, dua faktor utama yang perlu dilihat dalam menjangkakan tarikh pilihan raya ialah keadaan politik dan ekonomi negara.

Katanya, tekanan politik terhadap Perdana Menteri semakin meningkat, manakala perkembangan ekonomi dunia termasuk konflik di Asia Barat turut memberi kesan kepada keadaan ekonomi Malaysia.

“Dua perkara ni, ekonomi dan politik ni memberi tekanan berat kepada Perdana Menteri. Sebab itulah teorinya hari ini, pilihan raya ni akan berlaku tahun ni,” ujarnya.

Nik Amar berkata, PRU16 berkemungkinan diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2027, dengan kemungkinan Parlimen dibubarkan pada Oktober sebelum pilihan raya berlangsung pada November.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera PAS supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan besar parti itu di Terengganu pada pilihan raya lalu.

Katanya, kemenangan besar tidak boleh dijadikan alasan untuk jentera parti berehat kerana keputusan pilihan raya boleh berubah sekiranya persiapan tidak diperkemaskan.

“Walaupun Tuhan beri menang besar baru ni, tapi jangan duduk sedap. Kita kena beringat sokmo, kita kena ambil cakna supaya kemenangan kita tu kekal,” katanya.

Tambah belia lagi, sasaran PAS bukan sekadar mempertahankan Terengganu, Kelantan dan Kedah, sebaliknya parti itu kini bergerak ke arah Putrajaya.

Katanya, setiap kerusi yang telah dimenangi perlu dipertahankan selain usaha menambah kerusi baharu bagi membolehkan PAS membentuk kerajaan Persekutuan.

“Syarat nak menang di Putrajaya, mana-mana kerusi yang kita menang di negeri-negeri ni, kita tak boleh beri lepas. Kita kena kekal kerusi tu dan lepas tu kita tambah kerusi lain, barulah kita boleh sampai ke Putrajaya,” ujar beliau.

 

Nik Amar turut menyeru jentera parti di semua peringkat supaya melaksanakan arahan dan perancangan pilihan raya yang telah ditetapkan, termasuk memperkemaskan struktur, program serta data pengundi.

Katanya lagi, kejayaan strategi pilihan raya bergantung kepada sejauh mana jentera di peringkat akar umbi melaksanakan perancangan yang telah disusun oleh pimpinan.

“Pimpinan ni boleh rangka, Jabatan Pilihan Raya, Jentera Pilihan Raya dia boleh rancang, dia boleh susun, dia boleh mengatur. Tapi nak tentu jalan tak jalan tu jentera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta jentera PAS di Setiu khususnya supaya mula bekerja dan tidak menunggu arahan terakhir, memandangkan tempoh menuju pilihan raya mungkin semakin singkat.

Selain itu, beliau menambah, jika Parlimen dibubarkan pada Oktober, jentera parti hanya mempunyai kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya.

Beliau pada masa sama menegaskan PAS perlu mengekalkan kemenangan di Setiu dan Terengganu sebagai asas untuk merealisasikan sasaran lebih besar menuju Putrajaya.