Bantuan Allah Bersama Petugas Ikhlas, Kunci Kemenangan PAS

29

KUALA TERENGGANU – Keikhlasan petugas -petugas dalam melaksanakan arahan parti akan mengundang pertolongan dan bantuan Allah SWT menjadi kunci kemenangan PAS.

Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata usaha yang dilakukan bukan sekadar untuk memenangkan individu atau calon tertentu, sebaliknya bertujuan mengangkat syiar Islam.

“Mempertahankan kemenangan Islam dan memastikan agenda Teguh Memimpin Terengganu terus diperkasakan,” katanya.

Zarani yang juga Ketua Muslimat Marang berkata demikian ketika berucap di Majlis Semarak Mujahidah yang diadakan di sini pada 18 Jun 2026.

Menurutnya, yang paling menyentuh hati ialah apabila para petugas bekerja bersungguh-sungguh walaupun calon yang diketengahkan datang daripada BERSATU.

“Mereka tidak mempersoalkan siapa calon yang bertanding, sebaliknya meletakkan kepentingan perjuangan mengatasi segala-galanya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sikap tersebut merupakan manifestasi keikhlasan yang sebenar, apabila seseorang bekerja demi kemenangan Islam tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi, jawatan atau penghargaan.

“Petugas yang ikhlas akan sentiasa meletakkan Allah sebagai tempat pergantungan. Mereka yakin bahawa kemenangan hakiki datang daripada Allah, bukan semata-mata hasil usaha manusia,” ,” ujarnya

Beliau berharap semangat pengorbanan yang ditunjukkan para petugas ini diharap terus menjadi contoh kepada seluruh jentera agar sentiasa memelihara keikhlasan, memperkukuh ukhuwah dan meletakkan kepentingan Islam sebagai matlamat utama perjuangan.

“Apabila hati-hati bersatu kerana Allah, bekerja kerana Islam dan berjuang tanpa mengharapkan balasan manusia, di situlah turunnya bantuan Allah dan terbukanya pintu-pintu kemenangan.” katanya.