PAS Terengganu Menjunjung Penuh Titah Sultan Selangor

26

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menjunjung penuh titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi di kawasan penempatan majoriti Melayu Islam di negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, titah Sultan Selangor itu wajar dihormati demi menjaga keharmonian dan sensitiviti masyarakat Islam di negeri berkenaan.

Katanya, penternakan babi tidak seharusnya dijalankan sehingga menimbulkan gangguan kepada penduduk khususnya di kawasan penempatan orang Melayu Islam.

“Kami menjunjung titah tuan-tuan Sultan Selangor dan khususnya orang Islam sangat bersetuju apabila di Selangor sendiri ramai terdapat penempatan Muslim.

“Maksudnya memang saya menyokong penuh apa yang dititah oleh Sultan Selangor. Nak makan babi boleh, tetapi tidak perlu diternak di Selangor,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Penggunaberkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Himpunan Pemandu Dan Ride E Hailing, di Dewan Sivik Bukit Payung, semalam.

Tambahnya, sebagai pemerintah, Sultan Selangor mempunyai pandangan yang perlu dihormati demi menjaga kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri itu.

“Itu kata PMX sebagai pemerintah, tapi pada kita tidak perlu ganggu rakyat negeri Selangor khususnya di penempatan orang Islam Melayu,” katanya.