‘Haji Cilik’ Semai Kefahaman Awal Ibadah Haji

45

Oleh : Kopiah Hijau

KEMAMAN – Program Simulasi Haji Cilik berjaya menyemai kefahaman awal mengenai ibadah haji dalam kalangan kanak-kanak, khususnya murid prasekolah.

Justeru, seramai 208 murid berusia lima dan enam tahun daripada PASTI Adam Mak Chili menyertai Program “Simulasi Haji Cilik 2026” yang berlangsung meriah di Dewan Al-Barakah PASTI Adam Mak Chili, hari ini.

Guru Kanan PASTI tersebut, Hajah Asni Othman berkata, program itu diadakan bagi menyemai kecintaan terhadap Islam serta memberi kefahaman awal kepada anak-anak mengenai salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang berkemampuan.

Menurut beliau, pendidikan agama perlu diterapkan sejak kecil supaya anak-anak dapat membesar dengan asas ilmu, penghayatan ibadah dan pembentukan sahsiah yang baik.

“Program seperti ini amat memberi manfaat kepada murid kerana mereka bukan sahaja mendengar penerangan secara teori, malah dapat melihat dan merasai sendiri suasana ibadah haji melalui aktiviti simulasi yang dijalankan.

“Kaedah pembelajaran seperti ini lebih mudah difahami oleh kanak-kanak dan secara tidak langsung dapat meningkatkan minat mereka terhadap ilmu agama,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa program tersebut bertujuan membentuk nilai disiplin, kerjasama, adab dan keyakinan diri dalam kalangan murid melalui aktiviti berkumpulan yang dijalankan sepanjang program berlangsung.

Selain itu, kata beliau, pendekatan pembelajaran berbentuk pengalaman secara langsung dapat membantu meningkatkan daya ingatan murid terhadap setiap rukun dan amalan ibadah yang dipelajari.

Oleh itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Akademi Tawfir Travel & Tours Sdn. Bhd. atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.

“Penghargaan turut diberikan kepada semua guru, ibu bapa, sukarelawan dan individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran perjalanan program tersebut.” tambahnya.

“Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha melahirkan generasi muda yang memahami ibadah, mencintai agama serta mempunyai akhlak dan sahsiah yang baik,” katanya lagi.

Tinjauan dibuat mendapati, sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berkaitan ibadah haji termasuk pemakaian ihram, simulasi tawaf, saie, melontar jamrah serta penerangan asas mengenai rukun dan wajib haji.

Suasana program yang disusun menyerupai perjalanan sebenar ibadah haji berjaya menarik minat murid selain memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan mudah difahami.