KUALA TERENGGANU – Kerajaan digesa agar segera menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf Hutan Lipur Sekayu yang merupakan aset penting negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Cikgu Mohd Zawawi Ismail berkata kelewatan melakukan demikian akan menyebabkan potensi kawasan tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Justeru saya menggesa agar peruntukan disegerakan demi memastikan kemudahan pelancongan berada dalam keadaan baik dan selamat,” ujarnya.
Cikgu Zawawi yang berkata demikian ketika membahaskan ucapan titah Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ke-15 di sini semalam.
Beliau turut berharap Pusat Komersial Kuala Ping yang berpotensi menjadi pemangkin ekonomi setempat juga perlu dipercepatkan.


Beliau juga memaklumkan di DUN Telemong juga mempunyai pusat pelancongan berasaskan komuniti ‘ Community Base Tours'(CBT) yang mencapai tahap ‘benchmark’ iaitu CBT Temir dan CBT Kampung Dusun.
“Dua lokasi ini kini menjadi pusat tumpuan pelancong di dalam dan luar Negeri Terengganu kerana keunikannya tersendiri dan secara langsung DUN Telemong sedang menikmati pertumbuhan ekonomi, ” jelasnya.





























