KUALA TERENGGANU – Struktur bumbung Masjid Kampung Tok Kah di Rantau Abang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan berisiko runtuh pada bila-bila masa akibat serangan anai-anai yang serius pada tiang utamanya.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi bin Zulkifli menegaskan, isu berkenaan bukan lagi sekadar soal ketidakselesaan jemaah, sebaliknya merupakan ancaman besar yang boleh meragut nyawa.
Menurut beliau, laporan rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur (CKAS) bertarikh 13 Mei 2022 telah mengesahkan kerosakan tersebut.
“Hasil pemeriksaan visual mendapati tiang-tiang kayu utama yang menyokong bumbung mengalami pereputan yang sangat serius.
“Keadaan itu menyebabkan berlaku section loss atau kehilangan jisim kayu yang mengurangkan kapasiti mampatan struktur. Malah, terdapat pangkal tiang yang dikesan telah terputus sepenuhnya akibat serangan anai-anai,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Pemangku Raja Terengganu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Fadhli yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, beban bumbung kini hanya ditampung oleh dinding dan rasuk yang tidak direka bentuk untuk tujuan asal tersebut.
Jelasnya, pihak JKR Forensik Struktur telah mengklasifikasikan keadaan masjid berkenaan sebagai kritikal dan mengesyorkan agar penggunaan bangunan diminimumkan demi faktor keselamatan.
“JKR telah memberi amaran keras bahawa tiang-tiang ini perlu diganti segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Namun, setelah hampir empat tahun laporan tersebut dikeluarkan, rakyat masih menanti jawapan pasti mengenai pembinaan semula masjid tersebut,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Negeri untuk menyegerakan peruntukan projek bina baharu memandangkan struktur asal yang dibina sejak tahun 1963 itu sudah tidak lagi selamat.
Tegasnya, langkah drastik perlu diambil segera bagi menjamin keselamatan penduduk Kampung Tok Kah dan mengelakkan sebarang tragedi runtuhan di rumah ibadat berkenaan.




























