Pelaburan RM6 Bilion: Sektor Pembuatan Jadi Nadi Pertumbuhan Ekonomi Negeri

66

KUALA TERENGGANU  – Kerajaan Negeri Terengganu terus mempamerkan prestasi ekonomi yang mampan apabila berjaya merekodkan nilai pelaburan komited berjumlah RM6 bilion sehingga Disember 2025.

Naib Ketua Muslimat YB Hjh Zuraida Md Noor berkata, pencapaian tersebut secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama pilihan pelabur, dengan sektor pembuatan muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan.

Menurut beliau, selain sektor pembuatan, kerajaan negeri kini giat mempelbagaikan sumber ekonomi bagi memastikan Terengganu kekal kompetitif di peringkat global.

“Kerajaan rancak meneroka sektor pelancongan, ekonomi digital, pertanian moden, industri halal, serta tenaga boleh diperbaharui. Inisiatif ini selari dengan aspirasi negara menuju ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya ketika membahaskan Titah Ucapan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, sempena Pembukaan Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15.

ADUN Ladang itu juga menegaskan bahawa keberkesanan pelaburan ini bukan sekadar angka di atas kertas, malah menjadi instrumen penting dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

Fokus utama diberikan kepada penyediaan peluang pekerjaan yang lebih luas, terutamanya bagi golongan muda dan graduan di negeri ini.

Beliau menambah, pendekatan holistik ini turut menyokong agenda pemerkasaan sosioekonomi di kawasan luar bandar serta menjadi pemangkin kepada pengurangan kadar kemiskinan negeri.

Menutup perbahasannya, beliau menzahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan padu semua pihak, Terengganu akan terus melonjak maju sebagai sebuah negeri contoh.

“Insya-Allah, Terengganu akan terus membangun secara holistik, berintegriti dan berkat. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas komitmen jitu pihak kerajaan,” ujarnya lagi.