dan membolehkan setiap pihak yang bertanding mendapat liputan media secara saksama.
Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Mohamad Sabu, memberitahu wartawan di bangunan parlimen di sini bahawa PR menjangka kehadiran 500,000 penyokong di perhimpunan itu.
Menurut beliau, perhimpunan itu akan diadakan di Stadium Kebangsaan Bukit Jalil.
“Pihak kerajaan belum lagi memenuhi lapan permintaan utama yang dibuat oleh Bersih (Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil), terutamanya mengenai usaha membersihkan senarai pengundi dan keadilan media.
“Oleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah mengusulkan bahawa jika kita mahu mengadakan apa saja perhimpunan kita harus mengadakannya di Bukit Jalil, maka kami memutuskan untuk memilih tempat itu bagi mengadakan perhimpunan kami,” kata Encik Mohamad Sabu.
Bersih dan beberapa pemimpin pembangkang Malaysia telah berulang kali menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negara itu sengaja tidak mahu bertindak berhubung isu percanggahan dalam senarai pengundi, sambil menyifatkan sikap SPR itu sebagai usaha membantu kerajaan mengekalkan mandat dua pertiganya dalam pilihan raya umum akan datang.
Para pegawai SPR menafikan dakwaan itu sambil berkata langkahnya mengambil kira saranan- saranan yang dibuat oleh jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) mengenai pembaharuan pilihan raya adalah bukti bahawa ia tulus dalam memastikan pilihan raya bersih dan adil.
PSC dibentuk Datuk Seri Najib selepas beberapa bantahan oleh Bersih, yang disokong pembangkang, mengancam menggegarkan kerajaannya.
Namun, beliau tetap mempertahankan bahawa pilihan raya di Malaysia sememangnya dijalankan dengan adil.
Beberapa negeri yang dikuasai PR, seperti Selangor, mendakwa berlaku banjiran 500,000 warga asing yang ditempatkan di negerinegeri itu dan didaftar sebagai pengundi dan SPR gagal bertindak sewajarnya terhadap dakwaan itu.




























