Oleh: Fatimah Din
MARANG – Muslimat hebat bukan kerana sempurna, tetapi bijak mengurus masa, emosi dan keutamaan dalam menyeimbangkan amanah diri, keluarga, organisasi serta masyarakat.
AJK Muslimat PAS Malaysia, Dr. Siti Mastura Muhammad berkata, wanita yang sentiasa mendahulukan keperluan orang lain juga perlu memberikan perhatian terhadap kesihatan mental dan fizikal agar mampu terus berbakti tanpa mengabaikan keperluan diri sendiri.
“Jangan terlalu memaksa diri untuk menjadi sempurna dalam semua perkara. Kita ada kemampuan, tanggungjawab dan fasa kehidupan yang berbeza. Apa yang penting, kita tahu menyusun keutamaan dan melaksanakan amanah sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam program Himpunan Ameerah (HAMRA) Peringkat Kawasan Marang yang berlangsung di Dewan Sivik Bukit Payong, Marang, pada Sabtu, 24 Oktober.
Menurut beliau, muslimat tidak seharusnya membandingkan pencapaian diri dengan orang lain kerana setiap individu mempunyai perjalanan kehidupan dan komitmen tersendiri.
“Sebaliknya, pendekatan fiqh al-awlawiyyat atau memahami keutamaan perlu dijadikan panduan dalam membuat keputusan dan mengurus tanggungjawab harian.
“Kebijaksanaan menentukan perkara yang perlu didahulukan membolehkan seseorang wanita mengelakkan tekanan yang tidak perlu, di samping memastikan tanggungjawab penting tidak terabai akibat terlalu banyak komitmen dalam satu-satu masa,” ujarnya.
Beliau turut menggariskan empat bahagian utama dalam pengurusan masa, iaitu tanggungjawab utama, ibadah dan tarbiah, keluarga serta sumbangan kepada ummah. Pembahagian itu, jelasnya, perlu disesuaikan dengan kemampuan, keperluan dan keadaan setiap individu supaya keseimbangan kehidupan dapat dibentuk secara realistik.


Dalam pada itu, mantan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia tersebut mengingatkan bahawa masa merupakan amanah yang tidak boleh dikembalikan apabila berlalu. Justeru, peluang untuk melakukan kebaikan perlu direbut ketika masih sihat, bertenaga dan berkemampuan, bukannya ditangguhkan sehingga bersara atau menunggu semua keadaan menjadi sempurna.
“Jangan tunggu sehingga bersara untuk mula berbakti. Jangan tunggu sehingga semua urusan selesai, barulah kita mahu menyumbang kepada masyarakat. Selagi kita mempunyai kemampuan, manfaatkan masa yang ada untuk melakukan kebaikan,” tegas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi tidak seharusnya diukur berdasarkan banyaknya program yang berjaya dilaksanakan semata-mata, tetapi perlu dinilai melalui kualiti pelaksanaan, impak serta manfaat yang dirasai oleh masyarakat.
Sehubungan itu, penghayatan Surah al-‘Asr perlu menjadi asas dalam kehidupan dan gerak kerja muslimat, khususnya dalam membina budaya beriman, beramal soleh serta saling berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.
“Pesanan ini menjadi peringatan bahawa kekuatan muslimat bukan terletak pada kemampuan melakukan segala-galanya secara serentak, tetapi pada kebijaksanaan mengurus amanah, keteguhan menjaga hubungan dengan Allah SWT dan keikhlasan memastikan setiap usaha membawa manfaat kepada keluarga, organisasi serta ummah,” katanya.





























