Merujuk kepada sikap pemimpin politik itu dalam sesi perdebatan belanjawan negara di parlimen, penganalisis yakin ia boleh mengakibatkan parti memerintah kehilangan sokongan pada pilihan raya akan datang.
Demikian menurut laporan sebuah laman berita tempatan, The Malaysian Insider (TMI), semalam.
Para penganalisis dipetik laporan itu sebagai berkata kempen politik yang memburuk-burukkan lawan, sebagaimana disiarkan akhbar- akhbar milik atau yang dikaitkan dengan BN, telah menyebabkan ramai pengundi berasa mual.
“Pengundi kini berfikiran wajar dan canggih, malah yang tidak canggih pun tahu ini hanya politik kotor,” kata pengarah Pusat Inisiatif Dasar (CPI), Dr Lim Teck Ghee.
Menurut beliau, pengundi boleh menunjukkan minat dalam membaca kisah-kisah skandal seks atau tuduhan lain tetapi apabila tiba hari mengundi, semua itu akan dilupakan mereka.
“Pengundi akan menumpukan pada isu-isu sebenar yang memberi kesan kepada mereka, seperti rasuah, pendidikan dan ekonomi, apabila membuat keputusan, bukan pada kempen memburuk-burukkan lawan,” ujar Dr Lim.
Walaupun ahli politik PR turut terlibat dalam kempen negatif tersebut, pengendali kempen BN dan beberapa pertubuhan luar yang dikaitkan dengan parti memerintah itu akhir-akhir ini telah meningkatkan serangan mereka terhadap ahli politik PR melalui akhbar, blog dan media sosial.
Seorang lagi pengamat politik berkata ia akan hanya membuat pengundi ‘atas pagar’ menyokong pihak yang diserang.
“Pengundi atas pagar mahu melihat penyelesaian konkrit bagi isu-isu yang penting bagi mereka. Jika BN semata-mata melakukan serangan terhadap pembangkang ke atas isu-isu remeh seperti serangan peribadi terhadap Lim Guan Eng daripada DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada PKR, ia akan kehilangan sokongan,” kata Dr Faizal Hazis.
Ini, menurutnya, mungkin menjadi penjelasan mengapa populariti PR meningkat dan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, merosot dalam tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel).
Dr Faizal mendakwa pembangkang telah secara perlahan menambat hati pengundi dengan mengutarakan isuisu seperti harga kereta, perumahan mampu milik dan pendidikan percuma.
Naib Ketua Gerakan Pulau Pinang, Encik H’ng Khoon Leng, akur kempen memburukkan lawan tidak akan membawa undi, sambil menyifatkan pendedahan skandal seks “bermotif politik” dan menjadi “hiburan semata-mata”.
“Pengundi akan tahu siapa yang mereka mahu undi dan ia tidak berdasarkan semua skandal dalam media itu,” ujarnya.





























