RM120,000 Sumbangan Raya Buat 750 Anak Yatim, Fakir Miskin Dan Guru PASTI

245

DUNGUN, — Seramai 750 penerima dalam kalangan fakir miskin, anak yatim serta guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) menerima sumbangan raya keseluruhannya berjumlah RM120,000.

Pengarah Majlis Tindakan DUN(MTD) Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata program kebajikan yang memasuki edisi ketiga itu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam usaha menyemai budaya berkongsi rezeki dan menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

“Bagi edisi kali ini, sebanyak RM120,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat serta para dermawan yang terus komited menyokong usaha kebajikan di DUN Rantau Abang,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap di program Sekecil Sedekah Sejuta Barakah 3.0 yang berlangsung di Dewan Al Husna Darul Ansor, di sini, pagi tadi.

Ustaz Fadhli turut berharap program seperti ini akan terus mendapat sokongan masyarakat pada masa hadapan agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.

” Semoga para penyumbang terus dikurniakan rezeki yang melimpah serta keberkatan oleh Allah SWT,

“Setiap sumbangan yang yang diberikan bukan sahaja membantu meringankan beban mereka, malah menjadi tanda kasih sayang serta keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.