138 Tokoh As-Sabiqun Dihimpunkan Dalam Majlis Iftar

160

KUALA TERENGGANU – Seramai 138 tokoh As-Sabiqun berjaya dihimpunkan dalam Majlis Iftar As-Sabiqun peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan penghargaan terhadap jasa para pejuang veteran.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Mohd Norkhuzaini Ab Rahman berkata, majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghormatan kepada golongan As-Sabiqun yang telah banyak berkorban dalam mendidik masyarakat dan membina generasi perjuangan hingga ke hari ini.

Katanya, kehadiran para tokoh tersebut membuktikan bahawa gelaran As-Sabiqun bukanlah petanda untuk berehat daripada perjuangan.

“Sebaliknya mereka adalah figura yang telah melalui pelbagai cabaran dan pengalaman, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu untuk terus membawa agenda perjuangan masyarakat,” jelasnya dalam laman sosialnya hari ini.

Tambahnya, perjuangan tidak seharusnya diukur melalui jawatan atau kedudukan semata-mata kerana semangat juang sejati melangkaui segala pangkat dan darjat.

Beliau turut mengingatkan agar generasi kini mengambil iktibar daripada keteguhan tokoh perjuangan seperti Sheikh Ahmed Yassin yang tetap digeruni musuh walaupun berdepan kekangan fizikal.

“Semangat istiqamah seperti inilah yang perlu dicontohi agar kita terus menjadi penunjuk jalan kepada generasi muda dalam meneruskan kelangsungan perjuangan dengan cara masing-masing,” ujarnya.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform menghargai jasa tokoh lama, malah turut mengeratkan silaturahim antara generasi pejuang lama dan baharu dalam memperkukuh kesinambungan perjuangan masyarakat di DUN Kota Putera.