Tidak Mustahil PAS Jadi Rakan Kongsi Perintah Putrajaya Selepas PRU16

54

BESUT – Tidak mustahil PAS menjadi rakan kongsi memerintah di Putrajayselepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya strategi politik sama digunakan seperti di PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkembangan siasah terkini semakin menarik dan membuka ruang kepada parti Islam itu membentuk kerajaan persekutuan.

Menurutnya, berdasarkan pandangan pengkaji dan pemerhati politik, muafakat yang dilaksanakan di kedua-dua Negeri sebelum ini boleh menjadi pendekatan, berpotensi membawa perubahan.

“Sekiranya strategi yang sama yang digunakan di Johor dan juga di Negeri Sembilan, digunakan juga di peringkat negeri-negeri lain dan juga di peringkat Parlimen,

“Maka insya-Allah tidak mustahil PAS akan juga menjadi kerajaan yang memerintah Putrajaya,” jelasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Besut kali ke 61, di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, semalam.

Sehubungan itu, Ustaz Wan Sukairi berkata, PAS Terengganu kini memberi tumpuan utama untuk mempertahankan penguasaan sedia ada, termasuk 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.

Beliau menambah, menjadi cabaran Besar kepada PAS Terengganu untuk mengekalkan kemenangan besar, diraih pada PRU lalu.

Katanya, pendekatan politik PAS Terengganu kini digerakkan menerusi pelan “Teguh Memimpin” selepas kejayaan kempen “Teguh Pertahan” sebelum ini.

“Matlamat kita adalah untuk mengekalkan kemenangan di semua 36 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Kita sudah sampai ke syiling dan tugas kita adalah untuk terus kekal di syiling,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada ahli dan penyokong PAS supaya memperkukuh tiga kekuatan utama jamaah iaitu keimanan, persaudaraan dan penerangan.

“dengan kekuatan tersebut dan perpaduan dalaman, PAS tidak boleh dipinggirkan dalam menghadapi cabaran politik akan datang.” katanya lagi.