KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Terengganu akan menganjurkan pelbagai program sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, termasuk Moto Fest di bawah ARC dan Konvoi Bot di bawah DACS, sebagai pendekatan mendekati jiwa serta minat anak muda.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, program tersebut bukan sekadar bertujuan memeriahkan sambutan kemerdekaan, sebaliknya menjadi medium untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta menghayati makna sebenar sebuah kemerdekaan.
“Antaranya ialah Moto Fest di bawah ARC yang menghimpunkan komuniti permotoran anak muda dalam suasana yang sihat, berdisiplin dan penuh semangat patriotisme.
“Selain itu, kita turut mengadakan Konvoi Bot di bawah DACS sebagai satu pendekatan yang unik untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan serta menghimpunkan komuniti melalui aktiviti rekreasi,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, semangat cintakan negara tidak semestinya diterjemahkan melalui program berbentuk formal semata-mata, sebaliknya mesej kemerdekaan perlu dibawa ke dalam dunia anak muda melalui permotoran, sukan, rekreasi, kesukarelawanan dan aktiviti kemasyarakatan.


Katanya, setiap program yang dianjurkan perlu membawa penghayatan bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini terhasil daripada pengorbanan generasi terdahulu.
“Kita mahu anak muda bukan sekadar meriah menyambut kemerdekaan, tetapi memahami tanggungjawab mempertahankan kemerdekaan.
“Kerana bagi Pemuda, kemerdekaan bukan sekadar untuk diraikan, tetapi mesti diisi, dipertahankan dan diwariskan kepada generasi seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hamdi berkata, bentuk patriotisme dalam kalangan generasi muda perlu diperkukuhkan agar tidak terhakis akibat pengaruh media sosial dan budaya luar.
Beliau menambah, patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu kebangsaan pada bulan Ogos, sebaliknya merupakan rasa tanggungjawab untuk menjaga agama, mempertahankan kedaulatan negara, memelihara keharmonian rakyat dan membina masa depan tanah air.
“Cabaran anak muda hari ini ialah dunia tanpa sempadan. Kita boleh menerima kemajuan, teknologi dan ilmu daripada luar, tetapi jangan sampai kita menjadi generasi yang maju teknologinya tetapi hilang jati dirinya,” katanya.


Ujarnya lagi, generasi baharu perlu dibina atas tiga perkara utama iaitu jati diri, ilmu dan keberanian mempertahankan prinsip.
“Anak muda yang patriotik bukan hanya orang yang berkata ‘Saya cintakan Malaysia’, tetapi orang yang bertanya, ‘Apa yang saya boleh sumbangkan kepada Malaysia?’,” katanya.
Hamdi turut mengingatkan bahawa penjajahan hari ini tidak semestinya hadir dalam bentuk tentera dan senjata, sebaliknya boleh berlaku melalui pemikiran, budaya, ekonomi dan nilai.
“Kalau generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, tanggungjawab generasi kita ialah memastikan kemerdekaan itu mempunyai masa depan.
“Sekarang giliran kita pula untuk memastikan tanah air ini tidak kehilangan agama, identiti, maruah dan masa depannya,” tambah beliau.




























