Pemuda Jangan Mudah Berprasangka, Utamakan Syura

26

KUALA TERENGGANU -Pemuda PAS diingatkan supaya tidak mudah berprasangka terhadap rakan seperjuangan sebaliknya mengutamakan husnuzon, tabayyun dan syura dalam memastikan kekuatan jemaah terus terpelihara.

Naib Presiden PAS, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut menekankan kepentingan menjaga akhlak, tawaduk dan disiplin dalam perjuangan.

“Seluruh pemuda supaya kekal tawaduk apabila diberikan jawatan kerana kedudukan yang diterima bukan ruang untuk meninggikan diri, sebaliknya amanah untuk memberikan khidmat kepada ahli dan masyarakat,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu Kali Ke-57, semalam.

Menurutnya, perbezaan pandangan dan cara bekerja dalam perjuangan merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Namun ia tidak seharusnya menjadi punca kepada prasangka, sikap mencari kesalahan atau perpecahan sesama ahli,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan tabayyun sebelum bertindak, khususnya dalam era maklumat bergerak pantas apabila satu mesej, tangkap layar atau cerita yang belum disahkan boleh mencetuskan pelbagai reaksi.

Justeru itu, pemuda juga diseru mengutamakan syura dan menjaga disiplin jemaah dengan menerima keputusan bersama serta bergerak sebagai satu pasukan.

Dr.Samsuri turut menegaskan bahawa ketaatan dan thiqah kepada jemaah menjadi antara asas penting kekuatan organisasi kerana tidak semua keputusan yang dibuat akan memenuhi kehendak setiap individu.

“Kekuatan perjuangan bukan sekadar bergantung kepada jumlah ahli atau kehebatan organisasi.

“Tetapi turut bergantung kepada kekuatan akhlak dan kemampuan ahli untuk terus bersatu ketika berdepan perbezaan serta ujian,” tambah beliau.