KUALA TERENGGANU – Hak dan kepentingan orang Melayu-Bumiputera semakin terhakis di bawah menjelang sambutan kemerdekaan ke-69, termasuk dalam aspek pendidikan, institusi agama, kedudukan Raja-Raja Melayu dan pemilikan aset strategik.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi beberapa isu yang menurutnya menunjukkan kepentingan Melayu dan Islam perlu diberi perhatian lebih serius oleh kerajaan.
“Kalau dulu Bumiputera diberikan hak dalam kuota Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), MRSM dan UiTM, sekarang ini semua dah tidak ada.
“Itu satu pembuktian yang tidak menjaga hak orang Melayu dan Bumiputera,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, selain pendidikan, kedudukan Islam turut menjadi perhatian apabila timbul isu berkaitan laungan azan dan pengoperasian premis judi yang menurutnya menyentuh kepentingan umat Islam.
Mohd Nurkhuzaini turut membangkitkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada perkara penting dalam struktur Perlembagaan Malaysia.
“Sebarang usaha untuk menghakis kedudukan dan peranan institusi tersebut memang wajar diberikan perhatian yang serius,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pemilikan aset Bumiputera termasuk Tabung Haji yang menurutnya perlu diberi perhatian serius.
Katanya, pembelaan terhadap Melayu tidak bermaksud menghina atau menafikan hak kaum lain, sebaliknya memastikan kedudukan Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan terus dihormati.
“Maruah Melayu kena dipertahankan bukan dalam ucapan-ucapan sahaja, tetapi kena ditunjukkan dan diterjemahkan melalui kekuatan dalam pelaksanaan ekonomi, institusi dan juga perpaduan,” katanya.
Beliau menambah, isu berkenaan perlu dilihat berdasarkan data melibatkan pemilikan ekonomi, pendidikan, pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan aset serta penyertaan Melayu dalam sektor-sektor strategik.
“Tidak boleh sekadar bercakap tentang pembelaan Melayu tanpa memastikan jurang sebenar dalam perkara-perkara itu dapat dikurangkan.
“Kalau bukan dipertahankan malah makin menyusut, ini kelihatan seolah-olah orang Melayu terpinggir di negara sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menyifatkan kenyataan Tan Sri Annuar Musa mengenai sejarah, sekularisme, dasar pecah dan perintah, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai dasar pemerintahan serta kedudukan Melayu dan Bahasa Melayu sebagai peringatan supaya masyarakat memahami sejarah dan kesannya terhadap negara selepas merdeka.
Beliau menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dihormati, pada masa sama penguasaan bahasa lain tetap penting bagi menghadapi persaingan global.
“Untuk memartabatkan Bahasa Melayu tidak bermakna kita menolak bahasa lain. Tetapi usaha memperkukuhkan Bahasa Melayu perlu dilihat dengan jelas,” katanya.
Mohd Nurkhuzaini turut menegaskan sistem ekonomi pasaran tidak semestinya salah, namun kekayaan dan peluang ekonomi tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kelompok tertentu.
“Negara memerlukan sistem ekonomi yang kompetitif tetapi pada masa sama mesti memastikan kekayaan dan peluang diagihkan secara lebih adil,” tambah beliau lagi.
Justeru beliau menyeru kepada pihak yang terbabit, mengadakan dialog dan perbibcangan mengenai sejarah dan kedudukan Melayu-Islam dilakukan secara terbuka.
“khususnya bagi memberi kefahaman kepada golongan belia dan generasi muda supaya sejarah tidak dilupakan serta ketidakseimbangan masa lalu tidak berulang.” tambah beliau





























