50 Anak Asnaf Batu Rakit Ceria Pilih Baju Raya Sendiri

173

KUALA TERENGGANU – Seramai 50 anak-anak asnaf dari DUN Batu Rakit diraikan apabila diberi peluang memilih sendiri pakaian raya dalam satu program khas di Mydin Mall, Gong Badak.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Batu Rakit, YB Ustaz Shafizi Ismail berkata, program tersebut merupakan inisiatif bagi menceriakan anak-anak daripada keluarga fakir dan miskin menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, suasana program itu cukup meriah apabila anak-anak yang terlibat dapat memilih sendiri pakaian raya dengan penuh kegembiraan.

“Alhamdulillah kita membawa seramai 50 anak-anak fakir miskin untuk membeli pakaian raya. Program ini adalah inisiatif sendiri hasil sumbangan zakat daripada GLC Terengganu ” kata beliau yang juga ADUN Batu Rakit ketika dihubungi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada EPIC yang membantu menjayakan program berkenaan.

Tambahnya, pelbagai usaha kebajikan dilaksanakan bagi memastikan golongan memerlukan di Batu Rakit sentiasa terbela.

“Kita memberi komitmen besar dalam kebajikan rakyat Batu Rakit.

“Bermula daripada kelahiran, kita ziarah dan hulurkan sumbangan, sehinggalah kepada urusan kematian, pejabat DUN turut membantu,” jelasnya.

Menurut beliau, sepanjang Ramadan ini beberapa program kebajikan turut diadakan termasuk sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim dan keluarga miskin.

Selain itu katanya, program berbuka puasa bersama golongan kurang berkemampuan di rumah terpilih juga diteruskan dan telah dilaksanakan selama tiga tahun berturut-turut.

“Insya-Allah esok kita akan adakan majlis iftar bersama kira-kira 30 orang fakir miskin di perkarangan rumah saya sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata pihaknya turut berusaha mendapatkan bantuan zakat daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi membantu golongan asnaf di Batu Rakit.

Beliau juga menggalakkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta institusi masjid dan surau supaya terus melaksanakan program kebajikan secara berkala bagi membantu masyarakat setempat yang memerlukan.