Lima Agenda Muslimat Siapsiaga Hadapi PRU

20

KUALA TERENGGANU -Muslimat PAS Negeri Terengganu, menegaskan lima agenda utama perlu diberi perhatian bagi memperkukuh gerak kerja Muslimat di semua peringkat, termasuk memperkemas jentera akar umbi dan persiapan menghadapi pilihan raya.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, antara keutamaan ialah menyelesaikan jurang Jawatankuasa Muslimat Cawangan secara berperingkat dengan sasaran yang jelas bagi setiap kawasan.

“Selain memastikan program usrah dan tarbiyah dilaksanakan secara tetap di semua kawasan dan DUN serta dipantau perkembangannya.

“Ketiga, membina pasukan penerangan dan media yang aktif hingga ke peringkat kawasan dan DUN,” jelasnya dalam ucaptama Dewan Muslimat PAS kali ke 53, di Marang hari ini.

Menurut beliau, latihan kemahiran mengikut fungsi semua lajnah dan kawasan juga perlu dilaksanakan, selain memberi tanggungjawab sebenar kepada Muslimat muda sebagai pelapis kepimpinan pada masa hadapan.

Tambahnya, persiapan menghadapi pilihan raya turut perlu diperkemas melalui penggunaan data, latihan, gerak kerja masyarakat, pengurusan muafakat serta kerjasama politik PN-BN secara berhemah, di samping munajat yang berterusan.

“Setiap kawasan hendaklah menetapkan sasaran yang munasabah dan melaporkan perkembangan secara berkala. Kita tidak mahu menunggu sehingga muktamar tahun hadapan untuk mengetahui bahawa sesuatu arahan masih belum dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan yang dimiliki hari ini bukan jaminan untuk hari esok, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dipelihara melalui tarbiyah berterusan, organisasi yang kukuh, gerak kerja tersusun dan hubungan rapat dengan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh Muslimat menghayati tema “Muslimat Istiqamah Teguh Memimpin” dengan terus istiqamah dalam hubungan dengan Allah, menuntut ilmu dan melaksanakan amanah, selain teguh mempertahankan prinsip serta memperkukuh organisasi dan membimbing masyarakat.

“Kita bergerak bukan untuk nama atau jawatan, tetapi untuk meninggikan kalimah Allah, membawa kesejahteraan kepada rakyat dan mempertahankan amanah pemerintahan Islam di Terengganu,” katanya.