Jangan Lalai, Umno Masih Hidup – Dato’ Amar

405

KUALA NERUS – PAS diingatkan agar tidak terlalu selesa dengan kemenangan di Terengganu kerana parti lawan, khususnya Umno, masih mempunyai peluang untuk bangkit semula.

Naib Presiden PAS, YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr) Haji Mohd Amar Abdullah berkata, walaupun Umno dilihat seakan kehilangan pengaruh di Terengganu, ia tidak bermakna parti itu sudah lenyap sepenuhnya daripada pentas politik negeri ini.

“Walaupun Umno seolah-olah ‘tak ada kubur’ di Terengganu, jangan ingat dia mati. Umno boleh hidup balik bila-bila masa.

“selagi tak jumpa tok bomoh hak betul-betul mahir, Umno akan hidup balik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam satu program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di Dewan Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa, Kuala Nerus, pada sabtu.

Beliau menegaskan, kemenangan dua penggal PAS di Terengganu tidak boleh dijadikan alasan untuk leka, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran agar parti terus memperkukuh jentera dan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita suka kemenangan, tapi jangan ralik. Menang itu susah, nak pertahankan kemenangan lebih susah. Sejarah ada depan mata,” tegasnya.

Dato’ Amar turut mengingatkan bahawa kejayaan mengekalkan kemenangan seperti yang dilakukan di Kelantan selama lebih 35 tahun memerlukan disiplin, kefahaman dan kesungguhan berterusan daripada seluruh ahli parti.

“Maka sebab itu hari ini kita dalam keadaan gembira, kita jadi kerajaan kita kena ingat cabaran yang kita akan hadapi kemungkinan apa berlaku

“Kita perlu merancang, menyusun program dan tindakan supaya kita terus kekal menang sampai bila-bila,” ujarnya.

Beliau menambah, PAS membawa tanggungjawab besar bukan hanya mengekalkan kuasa, tetapi memastikan risalah Islam terus diterjemahkan dalam pemerintahan dengan keadilan dan amanah.