Banyak Potensi Besut Belum Dimanfaatkan

64

BESUT – Besut mempunyai pelbagai potensi ekonomi dan aset pelancongan yang besar, namun masih belum dimanfaatkan sepenuhnya bagi melonjakkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di daerah berkenaan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Besut memiliki kedudukan strategik, tanah pertanian yang luas, komuniti nelayan dan petani yang rajin, usahawan berjaya, anak muda berbakat serta aset pelancongan yang luar biasa.

Menurutnya, persoalan utama ketika ini bukan lagi sama ada Besut mempunyai potensi, tetapi sejauh mana potensi tersebut telah digunakan sepenuhnya untuk manfaat rakyat.

“Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada Besut mempunyai potensi, tetapi adakah kita sudah menggunakan potensi itu sepenuhnya? Saya percaya jawapannya adalah tidak.

“Oleh itu, kita perlu memberikan perhatian serius kepada lima sektor utama,” jelasnya ketika berucap pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Besut kali ke 61, di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, hari ini.

Beliau berkata lima sektor tersebut ialah agromakanan, ternakan dan industri hiliran, pelancongan, keusahawanan dan industri kecil serta ekonomi digital dan teknologi.

Katanya, sektor pertanian khususnya perlu dilihat sebagai satu industri yang lengkap, bermula daripada benih dan pengeluaran sehingga proses pemprosesan, pembungkusan, pemasaran serta pengeksportan.

“Kita perlu memperkukuhkan pengeluaran padi, meningkatkan produktiviti tanaman, menggalakkan pertanian fertigasi, teknologi pintar, automasi dan penggunaan data, serta menarik anak-anak muda kembali ke sektor pertanian,” ujarnya.

Dalam sektor pelancongan pula, beliau berkata Besut mempunyai pelbagai lokasi menarik termasuk Kuala Besut, Pulau Perhentian, Pantai Air Tawar dan Bukit Keluang yang boleh dikembangkan sebagai rangkaian produk pelancongan.

Katanya, pelancong perlu digalakkan untuk tinggal lebih lama di Besut dengan meneroka lebih banyak lokasi, menikmati makanan tempatan, membeli produk dan menggunakan perkhidmatan penginapan serta perniagaan masyarakat setempat.

Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan ekonomi digital dan teknologi dalam membina masa depan anak muda Besut.

“Kita mahu anak-anak muda Besut mempunyai tiga pilihan iaitu belajar di Besut, bekerja di Besut dan membina masa depan di Besut.

“Kita mesti memperbanyakkan peluang TVET dan menghubungkan pendidikan dengan industri supaya anak muda menguasai bidang seperti AI, pemasaran digital, e-dagang, automasi dan pertanian pintar,” katanya.

Beliau menambah, pengurusan potensi Besut secara lebih tersusun bukan sahaja mampu mengukuhkan ekonomi daerah, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada generasi muda serta masyarakat tempatan.