

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Dr Burhanuddin Mohd Nor atau nama besarnya dalam torehan emas perjuangan tanahair kita sebagai Burhanuddin al Helmi. Namanya mewangi bak haruman kasturi, jasanya membangunkan pemikiran anak bangsa tak terperi digodam kejerihan oleh penjajah serta regim penguasa dekad 50an dan 60ah. Jeriji penjara adalah kampus kedua sosok pejuang ini selain terkenal genius sejak remaja, seawal usia 17 tahun telah mengarang buku untuk mencerahkan akal ummat. Namanya diangkat sebagai Perdana Menteri namun sebelum ditabalkan, Jepun telah menyerah kalah dalam Peeang Dunia Kedua.
Kehadiran beliau dalam organisasi memberikan impak yang maksima, contohnya PAS pada tahun 1956 telah menunjukkan perubahan yang besar apabila dipimpin oleh Dr. Burhanudin al-Helmy, melonjakkan dinamisme PAS sebagai wadah siasah bagi orang Melayu selain daripada UMNO. Potret biografinya sangat berwarna warni, juga dengan latarbelakang pendidikan yang unik, genius dan pemberani. Pernah belajar di pondok dan juga madrasah sebelum jauh berlanglangbuana ke Sub Continent untuk meraih segudang ilmu sehingga jenjang paling tinggi pendidikan.
Beliau mendapat pendidikan tinggi di India dalam beberapa bidang ilmu termasuk Homeoparti, terlibat dengan politik menentang Imperialisme semenjak belajar di India. Pergulatan politik di India menambahkan pengalaman serta membuka ruang dimensi berfikir yang agak kritis terhadap imperialis Barat. Almarhum mengembara ke Asia Barat dan pernah ditahan di Palestin beberapa bulan pada tahun 1935 oleh British akibat penentangan kepada Perjanjian Balfour. Jiwa pejuangnya tak pernah luntur dan sekali lagi ditahan pada tahun 1937 di Singapura kerana menerbitkan Majalah ‘Taman Bahagia’ yang mengkritik Perjanjian Balfour yang merupakan dokumen asas penyediaan tapak kepada entiti haram Israel.
Pada tahun 1950 beliau ditahan dalam isu Natrah yang menguris hati umat Islam (John Funston, 1976). Mendekam dalam penjara demi akidah dan menyemangati umat Islam berdepan dengan manipulasi undang-undang penjajah. Beliau seorang yang berpendidikan Islam dan juga berwatak reformis. Walaubagaimanapun, PAS di bawah Dr. Burhanuddin begitu lantang menyuarakan soal kebangsaan Melayu dan kedaulatan Tanah Melayu , lantaran latarbelakang politik tanahair saat itu. Ini berkemungkinan akibat suasana politik Tanah Melayu pada saat itu yang menunjukkan kaum imigran semakin menuntut pelbagai hak mereka dalam keadaan orang Melayu yang terpuruk dalam semua sektor. Mentaliti penjajah politisi Melayu, kiblat politik Barat serta tekanan penguasa juga membentuk orientasi politik PAS dibawah kepimpinan Dr Burhanuddin.
Dr. Burhanuddin al-Helmy mula dilantik dalam Muktamar PAS pada 25 Disember 1956 yang telah berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya menewaskan calon lain iaitu Dr. Zulkifli Muhammad untuk jawatan Yang Dipertua Agung PAS yang ketiga. Sungguhpun Dr. Zulkifli Muhammad telah mendapat pencalonan yang banyak daripada kawasan-kawasan. Perpecahan undi perwakilan itu membayangkan bahawa Dr. Burhanuddin tidak disokong sepenuhnya untuk menjawat jawatan nombor satu dalam PAS kerana ada ahli-ahli PAS yang bimbang dengan latar belakang politik Dr. Burhanuddin sebelum ini akan mensasarkan PAS daripada fikrah perjuangan Islam yang sebenar.
Sebab itulah juga dalam ucapan penangguhan, perwakilan telah memberikan peringatan yang tegas kepada Dr. Burhanuddin untuk menjaga PAS supaya tidak tergelincir daripada landasan perjuangan. Pemuda PAS mengingatkan agar PAS terus terpandu dengan Islam dan al Quran.
Sebahagian ahli PAS pada asalnya lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof. Zulkifli Muhammad, seorang tokoh muda PAS yang sangat karismatik, dan semasa belajar di Mesir beliau telah mendapat tarbiah secara langsung daripada Hassan al-Banna dan Sayyid Qutb.
Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret beliau untuk menyertai PAS pada awal tahun 1950an. Beliau adalah antara tokoh penting yang telah menjadi ‘ideologue’ kepada pengikut PAS yang telah berusaha keras memastikan elemen tarbiah mengukuhkan wadah PAS. Zulkifli Muhammad adalah tokoh yang bertanggungjawab memahamkan konsep perjuangan PAS untuk menegakkan cita-cita politik Islam sebagai ibadah sesuai dengan matlamat penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah.
Dr. Burhanuddin mendapat pendidikan di dalam dan juga di luar negara merupakan seorang pemimpin yang sangat mengutamakan pendidikan sebagai agen transformasi masyarakat. Sekembalinya dari negara benua kecil India dan Arab, beliau telah berkhidmat sebagai pendidik di Madrasah al-Juned di Singapura. Beliau sebagai pendidik juga mengasaskan bidang penerbitan secara kecil-kecilan seperti menerbitkan Majalah ‘Taman Bahagia’.
Dr. Burhanuddin juga bersama-sama dengan ulama lain telah mengasaskan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat. Beliau yang sering melawat sekolah-sekolah agama di Tanah Melayu melihat kedaifan pendidikan orang Melayu. Pada 1-2 September 1947, LEPIR telah ditubuhkan di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah.
Seramai 300 orang aktivis pendidikan telah hadir dalam persidangan ini untuk berbincang tentang hala tuju pendidikan umat Melayu di negara ini. Beberapa resolusi telah diputuskan dalam perhimpunan LEPIR ini seperti mengutip derma untuk mendirikan Lembaga Pendidikan Rakyat, menerbitkan akhbar dan majalah, memperbanyak sekolah agama rakyat, menubuhkan derma pelajaran untuk menghantar pelajar ke luar negara, menyamatarafkan kurikulum pendidikan di dalam dan di luar negara.
Ada ratusan jasa almarhum Dr Burhanuddin al helmy, termasuk menjadi Ahli Parlimen pertama Besut pada tahun 1959 sehingga 1964. Sepanjang hidup sosok ini, menjadi lantera kepada umat Islam apatah lagi dizaman ” the blue eyes mentality”, dekad 1940an,50an dan 60an. Keterujaan kepada dunia Barat sangat menebal, obsesi kepada empayar Pax Britanica menyuramkan rasa kagum kepada sejarah emas tamadun Islam. Insan ini keluar masuk penjara memperjuangkan aspirasi Islam serta kemuliaan ummat Melayu. Permata ummah ini disemadikan di tanah perkuburan masjid lama Taiping Perak dan kekal jasa baktinya dalam rakaman sejarah bangsa Melayu. Insyaallah, sempena dengan bulan kemerdekaan kali 69, LESTARI akan menganjurkan beberapa siri wacana berkaitan perjuangan almarhum Dr Burhanudin al Helmy. Sejarah wajib diluruskan terutama dizaman edan ini, sekaligus mematikan terma ‘ sejarah ditulis oleh pemenang!’. Jom sertai wacana ini,
(Penulis ialah AJK PAS Pusat,Pengerusi LESTARI)




























