KUALA TERENGGANU – ADUN Belia Terengganu bukan sahaja menjadi wakil suara anak muda, bahkan menjadi jambatan yang menghubungkan aspirasi Gen-Z dengan dasar kerajaan PAS negeri.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah menyeru agar pemimpin belia memahami bahasa generasi ini dan membimbing mereka ke arah menjadi Generasi Rabbani memimpin Terengganu pada masa hadapan.
“Sebagai ADUN Belia Terengganu, saudara dan saudari perlu menjadi ejen penerangan dan ejen kebenaran. Gunakan media sosial untuk menyampaikan maklumat yang sahih, menyebarkan nilai-nilai Islam,
“mempromosikan dasar serta inisiatif kerajaan negeri, dan menjadi suara yang menenangkan masyarakat ketika berlakunya kekeliruan. Jadikan setiap platform digital sebagai ruang mendidik, bukan menghukum; menyatukan, bukan memecah-belahkan.” jelasnya.


Beliau yang juga Yang DiPertua DUN Terengganu itu berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Ketiga Sidang ADUN Belia Terengganu Kali yang ke-3, hari ini.
Ustaz Mohd Nor turut menyeru agar anak muda bersatu padu membina masa depan negara dan mampu membawa perubahan yang besar.
“Kekuatan sesebuah negeri dan umat tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal, tetapi juga kepada kesatuan hati dan perpaduan,
“Namun, jika mereka terus berpecah kerana perbezaan pandangan, ideologi atau kepentingan sempit, maka potensi tersebut akan hilang begitu sahaja.” jelasnya.


Justeru beliau memberi peringatan, ADUN Belia melaksanakan Amanah, bukan sekadar mewakili belia dalam persidangan, tetapi menjadi pemimpin yang membimbing, menyantuni dan mengangkat potensi Gen-Z.
“Jadilah suara yang mendengar, pemimpin yang mendekati, serta agen perubahan yang membawa generasi ini kembali kepada nilai ilmu, akhlak dan jati diri Islam.
“Semoga segala usaha yang kita laksanakan menjadi asbab lahirnya generasi Terengganu yang Rabbani, berwibawa dan mampu memimpin masa hadapan negeri serta ummah.” tambah beliau.





























