MARANG – Pengalaman bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membawa perubahan kepada jentera Muslimat khususnya meerealisasikan muafakat dan kerjasama politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, kerjasama terjalin bukan sahaja pada peringkat kepimpinan, bahkan diterjemahkan melalui gerak kerja bersama di lapangan.
“Walaupun datang daripada latar belakang parti dan pengalaman politik yang berbeza, para petugas mampu duduk semeja, menyusun gerak kerja serta turun bersama menyantuni pengundi.
“Kerjasama itu diterjemahkan melalui ziarah rumah ke rumah, edaran risalah, program ramah mesra serta pelbagai aktiviti di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu Kali Ke-53, di Dewan Tok Guru, Rusila, hari ini.
Menurut beliau, ia membuktikan sesungguhnya, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang persefahaman yang mampu membawa manfaat lebih besar kepada rakyat.


Katanya, Muslimat mempunyai peranan penting sebagai jambatan yang dapat meredakan ketegangan, membina kepercayaan dan menyatukan hati dalam menjayakan kerjasama politik.
“Muafakat tidak bererti kita mengorbankan prinsip perjuangan. Sebaliknya, kita mencari titik persamaan dalam perkara yang membawa kestabilan politik, menjaga kepentingan rakyat serta menghalang kemudaratan yang lebih besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, To’ Puan Zarani berkata, pengalaman di Negeri Sembilan perlu dinilai dan didokumentasikan bagi mengenal pasti perkara yang berjaya, kelemahan yang berlaku serta aspek yang perlu diperbaiki.
Beliau menegaskan bahawa pengukuhan kerjasama politik PN-BN memerlukan kejujuran, sikap saling menghormati dan disiplin dalam mengurus hubungan serta kerjasama politik.
“Kerjasama ini tidak boleh sekadar bergantung kepada komunikasi yang baik antara semua pihak atau menjadi kerjasama bermusim. Kita mahu hubungan ini berkembang sebagai kerjasama politik yang matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan hanya melibatkan kekuatan dalaman organisasi, tetapi turut menuntut kebijaksanaan dalam mengurus hubungan dan kerjasama politik.
“Muslimat mesti bersedia menjadi penggerak yang menyatukan. Kedekatan wanita dengan keluarga dan masyarakat memberikan ruang yang besar kepada kita untuk menjadi jambatan dalam membina persefahaman dan menjayakan muafakat,” katanya.






























