Ramadhan Dan Ketaatan Seorang Hamba

1102

Dengar dan taat, dua perkara yang tidak boleh pisah sama sekali. Penting dua perkara ni bagi ummah serupa dengan pentingnya tulang belakang bagi manusia. Kita tidak akan berjaya dalam perjuangan dan musuh akan dapat menceroboh masuk kalau konsep dengar dan taat tidak berakar umbi dalam gerakan kita.

Tidak pernah terjadi, seorang individu yang cuai terhadap kewajipan dengar dan taat, boleh mendapat kebaikan.

Iktibar perang Uhud adalah contoh terbaik. Nabi berpesan kepada pasukan pemanah, jangan tinggalkan bukit sekalipun kamu disambar burung, tapi perintah Rasulullah s.a.w dilanggar. Akibatnya… kecederaan hatta kepada diri  Rasulullah sendiri dan syahidnya 70 orang sahabat Nabi s.a.w.

Ini iktibar sepanjang zaman. Sekiranya dalam gerakan kita, kita ulang perkara yang sama, sejarah akan berulang lagi.

Dalam perang dunia yang kedua, dua juta tentera Itali dilengkapi dengan kelengkapan yang paling hebat dan paling canggih berbanding pasukan negara lain, tetapi bila diperintahkan supaya mereka maju menggempur musuh, mereka meniarap ketakutan tanpa berani menyahut arahan. Tak patuh kepada perintah. Kelengkapan yang hebat, persiapan yang rapi tidak ada guna sedikit pun. Akhirnya mereka lari meninggalkan medan perang dengan meninggalkan segala senjata dan kelengkapan perang untuk dirampas musuh dan musuh menyerang mereka semula dengan senjata mereka sendiri. Inilah senjata makan tuan.

Sabda Nabi s.a.w
“Seseorang muslim hendaklah dengar dan taat, samada dalam perkara yang dia suka atau benci, melainkan jika mereka disuruh pada perkara maksiat, maka tidak perlu lagi dengar dan taat.” hadis riwayat muslim.

Peralatan, kelengkapan, kita boleh beli bila ada duit. Pemimpin boleh merancang dan boleh merangka strategi, boleh bagi arahan, tapi kalau pengikut tak patuh?

Bukankah kita diajar konsep, tidak ada pemimpin kecuali ada pengikut, tidak ada pengikut kecuali dengan kepatuhan.

Cuba kita aplikasikan disiplin sembahyang sebagai disiplin dalam kita berjamaah. Nak sembahyang, perlu betul dan rapatkan saf, nak berjamaah juga perlu dalam saf yang tersusun rapi. Dalam sembahyang kita tidak boleh mufaraqah dari imam kecuali kalau imam melakukan perkara yang membatalkan sembahyang, di dalam berjamaah juga tidak boleh mufaraqah daripada pimpinan yang diberikan amanah kecuali kalau pimpinan kita melakukan perkara yang menyeleweng dari matlamat dakwah dan jihad serta melanggar dasar perjuangan kita.

Dalam sembahyang kita tegur kesilapan imam dengan beradab, subhanallah… dalam berjamaah juga sama, pimpinan juga manusia biasa yang mungkin silap tetapi, perlu ditegur dengan beradab. Kalau sembahyang ada rukun-rukunnya dan ada perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Jihad juga ada rukun-rukunnya dan ada perkara-perkara yang membatalkan pahala jihad.

Perjalanan parti kita ibarat pelayaran  sebuah bahtera di lautan, belayar menuju destinasi yang sangat jauh. Dipimpin seorang nakhoda, kadang-kadang pelayaran berdepan angin ribut, kadang-kadang kita meredah gelombang besar. Kadang-kadang angin sepoi-sepoi bahasa yang nyaman. Mungkin bukan semua keputusan yang dibuat oleh nakhoda sepanjang pelayaran kita setuju dan kita terima. Tapi tak setuju, bukan bermakna kita boleh tebuk bahtera kita biar tenggelam. Nanti kita turut tenggelam sekali. Tak setuju juga bukan makna kita boleh keluar terjun ke laut, nanti kita lemas sorang diri. Ini disiplin. Tidak ada kompromi.

Contoh paling agong dalam sejarah Islam berkaitan konsep dengar dan taat adalah Khalid Al Walid, di zaman Amirul Mukminin Umar Al Khattab. Ketika Khalid memimpin kira-kira 40,000 tentera muslimin menentang 200,000 bala tentera Rom, dalam medan pertempuran antara yang paling getir tercatat dalam sejarah, demi kemaslahatan kaum muslimin atas pertimbangan Amirul Mukminin, Khalid diarahkan supaya menyerahkan pimpinan tentera kepada Abu Ubaidah Al Jarrah, di tengah-tengah kecamuk medan pertempuran.

Khalid tak berhenti berperang, sekali pun terima arahan yang sebegini besar sehinggalah tentera Islam beroleh kemenangan. Khalid kemudiannya menghimpunkan bala tentera lalu dia baca arahan khalifah yang melucutkannya dari jawatan panglima dan Abu Ubaidah dilantik sebagai panglima baru. Dia menyerahkan panji-panji kepada Abu Ubaidah lalu berkata. “Wahai Abu Ubaidah, inilah dia panji-panji tentera Islam, sekarang, akulah tenteramu yang dengar dan taat.”

*** Tazkirah oleh Dr Azman Ibrahim pada majlis Iftar Jamaie PAS Kawasan Besut di Dewan Haji Salleh Alor Lintah pada Sabtu 15 Ramadhan 1433, 4 Ogos, 2012