Cabaran Pembaharuan Mesir dan Libya

1055

Namun, perubahan setelah berdekad-dekad di bawah pemerintahan seorang diktator membawa cabaran tersendiri bagi setiap negara.

“Saya tahu terdapat banyak perbincangan mengenai Arab Spring sebagai satu fenomena tetapi kesan daripada pemberontakan itu sangat berbeza bagi setiap negara,” kata Dr Fahed Al-Sumait, Profesor Madya Perhubungan di Universiti Teluk Sains dan Teknologi.

[Gambar – Morsi ‘tersepit’ diantara kuasa tentera Mesir???]

MESIR

Di Mesir, proses ke arah pembaharuan dirumitkan dengan tindakan Mahkamah Tinggi Perlembagaan yang membubarkan parlimen negara itu atas alasan pilihan raya yang diadakan bagi memilih anggota parlimen batal dan tidak sah kerana terdapat kecacatan dalam undang-undang yang mentadbir pilihan raya itu.

Sayap politik Persaudaraan Islam (Ikhwanul Muslim), Parti Kebebasan dan Keadilan, yang menjadi asas kuasa Presiden Mohamed Mursi, mempunyai majoriti dalam parlimen itu.

Malah, sebagai langkah mengehadkan kuasa presiden sebelum Encik Mursi mengangkat sumpah, pihak tentera telah mengumumkan langkah mengambil alih kuasa perundangan dan kehakiman.

Walaupun tujuan sebenar Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) ditubuhkan adalah untuk memerintah dalam tempoh peralihan sebelum keadaan di Mesir stabil, ia dilihat sebagai semakin tidak bersedia melepaskan kuasa dalam genggamannya.

Ramai yang melihat kebuntuan politik yang berlaku kini sebagai perebutan kuasa antara SCAF dengan parti itu.

Menurut Profesor Sumait, pemberontakan masih berterusan di Mesir kerana pihak tentera, SCAF, masih berkuasa.

“Walaupun Encik Hosni Mubarak sudah tiada, dan ia satu pencapaian besar, pihak tentera masih menguasai 40 peratus ekonomi Mesir. Mereka menguasai sebahagian besar kuasa eksekutif negara itu dan mereka sangat keberatan melepaskan kuasa, malah menggubal undang-undang supaya mereka mendapat lebih banyak kuasa.

“Oleh itu, sehingga keadaan berubah, tidak jelas semudah mana peralihan ke arah sistem politik lebih terbuka akan berlaku,” katanya, yang baru-baru ini turut berada di Institut Timur Tengah (Universiti Nasional Singapura) sebagai Zamil Pengkaji.

PEREBUTAN KUASA DI MESIR

Perebutan kuasa antara pihak tentera, institusi kepresidenan dan keinginan warga Mesir mungkin menjerumuskan negara itu dalam kancah politik yang berpanjangan.

Menurut Profesor Sumait, perebutan kuasa itu bukan sekadar antara Presiden Mursi dengan SCAF, malah antara masyarakat awam dengan SCAF.

“Saya lihat ia mungkin terdapat banyak cabaran bagi Mesir untuk bergerak ke hadapan kerana SCAF tidak mahu melepaskan kuasa. Kita akan melihat pergelutan yang berpanjangan dan ia menjadi lebih sukar kerana tiadanya parlimen ketika ini dan kita tidak tahu sama ada jawatankuasa yang seharusnya melakar perlembagaan negara masih sah,”katanya.

Tambah beliau lagi, bagaimana kuasa akan dibahagikan pada masa hadapan juga masih menjadi tanda tanya.

“Dengan SCAF memiliki kebanyakan kuasa eksekutif, Presiden Mursi mempunyai keterbatasan dalam usaha mendapatkan semula kuasa,” katanya.

Namun, tambahnya, Mesir tidak mungkin akan bergerak ke hadapan tanpa pihak tentera.

“Ketika ini terdapat tiga golongan yang tidak akan berundur di Mesir. Salah satu daripadanya adalah pihak tentera, satu lagi golongan Islamis dan satu lagi kuasa tindakan bersama dan rakyat. Semua kumpulan ini tidak sejajar dan kita akan melihat lebih banyak perebutan antara mereka di masa hadapan,” katanya.

Menurut Profesor Sumait lagi, apa yang perlu dilakukan bagi melihat SCAF melepaskan sebahagian kuasanya adalah memastikan perlembagaan yang menyatakan secara jelas peranan institusi politik di negara itu dilaksanakan.

“Kedua, adalah bagi memastikan pihak kehakiman bertindak secara bebas. Sejauh ini, kita melihat kehakiman berpihak kepada SCAF dan sehingga anda mempunyai sistem kehakiman yang bebas, ia akan menjejas keupaayaan keadilan untuk bertahan,” katanya.

Menurutnya, perkara lain yang harus diberikan perhatian ialah apakah yang akan berlaku dengan pilihan raya umum baru.

“Sebaik sahaja parlimen baru ditubuhkan dan dapat berdiri teguh, mereka akan berusaha memastikan langkah seterusnya diambil dan mereka tentu sekali akan menentang SCAF,” kata Profesor Sumait.

Namun, tambahnya, masih tidak dapat ditentukan bagaimanakah bentuk parlimen dan perlembagaan itu nanti.

Ini kerana, katanya, tiada jaminan bahawa Ikhwan akan berjaya seperti dalam pilihan raya lalu kerana mereka sudah pun mengingkari beberapa janji yang dibuat.

“Kita tidak tahu bagaimanakah bentuk parlimen baru, bagaimana rupa perlembagaan baru, kita tidak tahu bagaimana sistem kehakiman akan berjaya melepaskan diri daripada cengkaman SCAF.

“Semua ini akan memainkan peranan dalam proses peralihan daripada kekuasaan pihak tentera,” katanya lagi.

LIBYA

Sementara itu, di Libya, Perikatan Pasukan Kebangsaan (NFA) pimpinan mantan perdana menteri, Encik Mahmoud Jibril, berjaya memenangi 39 kerusi daripada 80 kerusi yang diperuntukkan bagi parti-parti politik dalam dewan perundangan Kongres Kebangsaan Am negara itu.

Namun, ia masih jauh daripada menguasai dewan perundangan Kongres Kebangsaan Am negara itu, yang mempunyai 200 kerusi kerana baki 120 kerusi dewan yang akan memimpin Libya semasa proses peralihan itu, telah diperuntukkan bagi calon bebas, yang sukar ditentukan kesetiaan mereka.

Sayap politik kumpulan Ikhwanul Muslim Libya, Parti Keadilan dan Pembangunan, pula hanya memenangi 17 daripada 80 kerusi yang diperuntukkan untuk parti politik.

KONGRES KEBANGSAAN AM

Selain bertindak sebagai parlimen Libya dan membentuk pemerintah sementara, dewan Kongres Kebangsaan Am juga bertanggungjawab melakar perlembagaan baru negara itu.

Ia akan menggantikan Majlis Peralihan Kebangsaan, yang telah memimpin Libya sejak kejatuhan Encik Gaddafi.

Ketua kongres itu dijangka bertindak sebagai ketua negara sementara dewan itu menentukan perundangan negara.

Ia juga akan membentuk Kabinet yang akan memerintah sehingga perlembagaan baru, yang dilakar panel 60 anggota.

Panel itu akan dipilih sama ada oleh dewan itu sendiri atau melalui undian popular.

PENOLAKAN GOLONGAN ISLAMIS DI LIBYA

Sedang golongan Islamis menguasai arena politik Tunisia dan Mesir, golongan mana yang akhirnya akan berkuasa di Libya, masih tidak jelas.

Menurut Profesor Sumait, berbeza daripada Mesir dan Tunisia yang memilih golongan Islamis memimpin negara itu, golongan Islamis di Libya tidak begitu tersusun seperti kumpulan Islamis di Mesir dan Tunisia.

“Sebagai contoh, di Tunisia, Parti Ennahda wujud dalam buangan dan agak teratur. Tetapi golongan Islamis di Libya kurang integrasi dengan masyarakat berbanding di Mesir dan Tunisia,” katanya.

Tambahnya, Libya turut menghadapi cabaran lebih besar bagi membangunkan negara itu kerana sebelum ini ia tidak mempunyai sistem kenegaraan berbanding dengan sistem yang ada di Tunisia dan Mesir.

“Mereka perlu bermula dari bawah dan mereka kini menghadapi cabaran besar seperti ketiadaan parti-parti politik, tiada pihak pembangkang yang kuat, tiada masyarakat awam dan sebagainya.

“Mereka juga perlu menghadapi kesan kerana melalui peperangan saudara dan ini bermakna mereka mempunyai kumpulan militia bersenjata yang lebih kuat daripada pasukan tentera pusat,” kata Profesor Sumait.

Ini, tambahnya, bermakna isu keselamatan dan perpaduan nasional merupakan masalah besar dan genting di Libya.

DEMOKRASI

Kini terdapat banyak perbincangan mengenai peralihan ke arah demokrasi, namun, dengan memberikan tumpuan kepada peralihan ke arah demokrasi itu, ia menambah jangkaan tentang sama ada negara-negara itu sudah mencapai demokrasi atau tidak, kata Profesor Sumait.

“Masyarakat akan rasa kecewa dan mengatakan mereka masih belum mencapai demokrasi. Saya rasa lebih membina bagi memikirkan demokrasi sebagai satu proses,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa negara-negara Barat juga mengambil masa beratus tahun bagi mencapai tahap demokrasi yang dinikmati kini.

“Di Timur Tengah, ia mungkin mengambil masa beberapa generasi sebelum kita dapat melihat penubuhan sesuatu yang boleh kita anggap sebagai demokrasi. Proses ini sentiasa berterusan dan tidak pernah selesai,” katanya lagi.

BERGERAK KE HADAPAN

Bagi melangkah ke hadapan, antara perkara yang harus ditangani Libya dan Mesir ialah melakarkan perlembagaan yang akan melindungi hak minoriti, menetapkan peranan institusi-institusi dalam masyarakat, yang akan membentuk rangka kerja yang bakal menjadi asas bagi sistem politik negara-negara itu.

“Kedua-dua negara itu sedang bergelut dengan soal itu dan pastinya setiap negara mempunyai masyarakat yang berbeza-beza oleh itu perlembagaan mereka harus melambangkan (perbezaan) itu.

“Saya rasa kedua-dua negara tahu apa yang perlu dilakukan. Soalnya sekarang, bukan apa yang perlu dilakukan, tetapi bagaimana. Mereka tahu isu menjadi berdaya saing dari segi ekonomi, memperbaharui sistem pendidikan, memperbaiki hubungan antarabangsa, membawa masuk pelaburan asing, menangani isu keselamatan, membangunkan semula negara masing-masing setelah berdekad-dekad di bawah pemerintahan seorang diktator, kedua-dua negara pasti menghadapi isu-isu ini,” kata Profesor Sumait.