Wakil Terengganu Bangkitkan Isu Ekonomi Islam

1050

Oleh : MNA

PENGKALAN CHEPA – Tanggungjawab PAS sangat besar untuk mempromosikan ekonomi Islam bukan sahaja seperti bank Islam tetapi lebih dari itu, sistem yang adil yang tidak menekan golongan kaya dan miskin iaitu sistem zakat, perlu diamalkan secara menyeluruh.

Oleh itu, PAS Terengganu mencadangkan PAS Pusat untuk mendesak kerajaan bagi melaksanakan secara menyeluruh sistem zakat bagi mengenepikan sistem liberal kapitalisme yang menzalimi rakyat seperti GST yang terpalit kepada semua lapisan masyarakat.

YB Dr Alias Razak yang mahu PAS mengambil peranan yang lebih berkesan bagi meletakkan sistem ekonomi berteraskan Islam di tempat yang tertinggi di negara ini.

IMG-20160602-WA0166Beliau berkata, dengan sistem liberal kapitalisme yang menekan ini, menyebabkan negara-negara miskin banyak berhutang dan dibebankan kembali hutang itu kepada rakyat dengan sistem percukaian seperti GST yang menzalimi rakyat.

“Negara kita baru diperkenalkan dengan sistem cukai GST yang jelas sistem ini ataupun cukai ini zalim kerana kena kepada seluruh lapisan masyarakat, samada golongan miskin, golongan sederhana, budak-budak, orang tua dan sebagainya, semua terpalit dengan GST ini.

“Sedangkan dalam Islam, sudah ada cukai yang begitu ringan, tetapi cukai ini hanya kena kepada golongan-golongan kaya sahaja,” terang beliau.

Beliau mengemukan pandangan itu ketika berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar PAS Kali Ke-62, sebagai wakil Terengganu.

Membawa fakta lain, beliau berkata kerajaan jika mahu mengutip cukai, dengan melaksanakan cukai Bursa Saham sahaja kerajaan dijangka mengutip RM52.6 billion setahun berbanding RM36 billion kutipan GST dan cukai itu hanya untuk orang-orang kaya sahaja.

Begitu juga zakat rikaz iaitu zakat bagi bahan galian yang menurut beliau, sepatutnya di dalam Islam seharusnya dikenakan sebanyak 20% oleh pemunya iaitu dalam kes sekarang, kerajaan negeri ke atas kerajaan pusat atau kontraktor.

Dr AliasNamun, dalam kes di Terengganu, tidak sampai setengah peratus yang diperolehi oleh kerajaan negeri atas cukai bijih besi di Terengganu iaitu RM1.6 juta berbanding keuntungan diperolehi syarikat iaitu sebanyak RM361.8 juta.

Akta Laut 750 juga adalah suatu contoh akta yang mahu merampas hak kerajaan negeri, ia seharusnya dihapuskan dan PAS Pusat sepatutnya mengambil langkah menghapuskan akta ini kerana ia diluluskan tanpa merujuk kepada kerajaan negeri.

Katanya, tuduh menuduh berlaku antara kedua-dua bekas Menteri Besar dan Menteri Besar sekarang atas isu royalti, tetapi sebenarnya yang tetap menjadi mangsa adalah rakyat Terengganu kerana royalti telah ditarik balik oleh BN.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu, turut menyentuh isu dalaman di Terengganu dengan menjelaskan program-program yang dilaksanakan bagi merampas kembali Terengganu, antaranya seperti PAS Harapan Untuk Semua (HARAP).

Kesal dengan pakatan dengan parti pembangkang lain yang dirasakan beliau seperti “ada bagaikan tiada” itu, beliau berharap agar blok ketiga perlu diperkukuhkan supaya tidak hanya wujud diatas kertas tetapi dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita akui bahawa bila berlaku perpisahan ini, kita kehilangan beberapa undi, sedangkan kita menang di beberapa Dun pun agak marginal (majoriti yang sedikit), ada 100 lebih, ada 300 ada 500.

Untuk kita mendapat kembali momentum dan sokongan baru, maka penubuhan blok ketiga amatlah penting, dan diharap ianya tidak hanya sekadar di atas kertas.

Perlulah dilaksanakan disemua peringkat dengan bersungguh-sungguh kerana inilah peluang kita untuk menarik penyokong-penyokong atas pagar, NGO dan sebagainya,” tegas beliau yang juga Adun Bukit Tunggal.